'Sampai nak tumbuk wanita,' pekerja tertekan jadi mangsa penyelia kilang kaki buli di Pulau Pinang


  • Tular
  • Selasa, 30 Ogos 2022

Tangkap layar yang menunjukkan seorang wanita dan seorang lelaki sedang bergaduh mulut di hadapan sebuah mesin di kilang tersebut.

TEKANAN kerja secara umumnya sering dikaitkan dengan konflik dalam kalangan teman sekerja atau pihak atasan.

Fenomena buli di tempat kerja turut menjadi punca dan ada antara pekerja yang mangsa didera dalam bentuk emosi.

Terbaharu, seorang pengguna TikTok, razlansharesaja berkongsi kisah mendakwa penyelia tempat kerjanya sering membuli dan mengherdik pekerja-pekerja kilang di J***o S***r P***t M*, Pulau Pinang.

Dia turut memuat naik satu video memaparkan seorang wanita yang dipercayai bekerja di kilang tersebut diherdik dan dimarahi penyelia kilang berkenaan.

Menurut pemilik akaun Tiktok berkenaan, dia juga merupakan salah seorang mangsa buli di kilang tersebut.

"Penyelia J***o S***r P***t M* ini memang suka memaki, membuli dan banyak lagi.

"Ini adalah salah satu kes terbaharu yang berlaku. Sudah ramai yang kena dengan pembuli ini," dakwanya.

Dia turut mendakwa, pekerja kilang wanita itu hampir ditumbuk penyelia tersebut.

"Ini salah satu kes terbaharu, kejadian ini berlaku bila penyelia tersebut meminta wanita berkenaan untuk menyiapkan kerja dengan cepat.

"Tetapi mesin dan barang yang sedang diproses mengalami masalah. Bila 'operator' tegur, penyelia itu terus datang menyerang.

"Masalah ini hanya berlaku pada 'Shift AG' sahaja. Dari superintendent nama R*j, supervisor ni nama Helmi, pelatih nama Y**g memang suka memaki dan menghina.

"Sebarkan supaya pihak kilang ambik tindakan untuk tiga orang penyelia ini sebelum ramai lagi yang akan trauma," tulisnya.

Dalam video yang dikongsikan, kelihatan seorang wanita dan seorang lelaki sedang bergaduh mulut di hadapan sebuah mesin di kilang tersebut.

Kejadian itu menjadi lebih tegang selepas kedua-dua individu tersebut mula menghentak meja dan melakukan provokasi antara satu sama lain.

Pihak Majoriti sudah menghubungi kilang berkenaan, namun pihaknya enggan mengulas tentang kejadian tersebut. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram