'Duduk rumah kedai, selera kondo,' wanita dikecam selamba cop parkir


  • Tular
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Tanpa rasa malu wanita itu mengatakan parkir awam itu miliknya kerana mereka tinggal di kawasan terbabit.

TINDAKAN seorang wanita menggunakan kon untuk 'cop' parkir di tempat letak kereta awam mendapat kecaman netizen selepas satu rakaman yang menunjukkan perbuatannya itu tular di media sosial.

Kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah deretan kedai bertempat di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Video yang dimuat naik di halaman Facebook We are Malaysians itu memaparkan seorang pemandu lelaki sedang cuba untuk memarkir kereta di salah sebuah tempat letak kenderaan awam di kawasan tersebut.

"Duduk rumah kedai, selera kondo," tulis kapsyen dalam video tersebut.

Dalam rakaman dashcam yang dikongsikan oleh pemandu tersebut, dia perlahan-lahan menolak kon yang diletakkan untuk menanda tapak parkir itu menggunakan keretanya.

Secara tiba-tiba, dia didatangi seorang lelaki berbaju merah yang menjerit 'hoi' sebelum pemandu itu sempat masuk ke arah parkir tersebut.

Lelaki itu dilihat menuju ke arah kereta Honda Civic miliknya yang diletakkan secara berdepan parkir yang dicop dengan kon tadi.

Seorang wanita dipercayai pasangan lelaki berbaju merah berkenaan kemudian menyusul sambil membebel dengan meminta pemandu itu mencari parkir di tempat lain kerana mendakwa parkir tersebut milik mereka.

"Tunggulah sekejap abang, parking ini kami dah cop," katanya dalam nada yang marah.

Pemandu tersebut turut mempersoalkan tindakan pasangan berkenaan yang sesuka hati menanda parking di kawasan itu.

Namun begitu, tanpa rasa bersalah wanita itu mengatakan parkir awam itu miliknya kerana mereka tinggal di tingkat atas salah sebuah rumah kedai di kawasan terbabit.

Enggan memanjangkan perbalahan, lelaki itu dilihat mengalah dan keluar dari kawasan tersebut.

Dalam pada itu, netizen turut mengecam tindakan wanita tersebut.

Seorang warganet meminta pemilik dashcam berkenaan membuat aduan pada pihak berkuasa.

"Hantar video ini pada JPJ, buat aduan. Sudah ada akta untuk kesalahan cop parkir," kata Hafiz Aibeni.

Shar DO berkata, kalau mereka mampu beli Honda, mesti sudah mampu beli rumah yang designated parking.

"Tapi jenis menunjuk jadi macam ini," katanya.

Untuk rekod, budaya cop parking adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana petak parkir itu adalah hak milik awam, maka mana-mana individu tiada hak untuk mendesak atau menghalang individu lain daripada menggunakan petak parkir itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram