Lelaki curi aiskrim 'kantoi' dirakam CCTV


  • Tular
  • Ahad, 28 Ogos 2022

Lelaki yang memakai baju-T dan berseluar khaki itu pada mulanya dilihat sedang berdiri di depan peti sejuk aiskrim berkenaan.

AKSI seorang lelaki mencuri sebatang aiskrim kon di sebuah kedai runcit menarik perhatian ramai.

Kejadian itu dipercayai berlaku di kedai runcit S**i S****a, Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

Video yang tular sejak Sabtu itu dimuat naik di halaman Facebook Asal Gombak memaparkan lelaki yang memakai baju-T dan berseluar khaki itu pada mulanya dilihat sedang berdiri di depan peti sejuk.

Dia kemudian menuju ke kaunter, kononnya untuk membayar aiskrim tersebut.

Bagaimanapun ketika berada berhampiran kaunter itu, individu tersebut kelihatan mengambil sebuku roti ban dan menyorokkan aiskrim itu dalam poket seluarnya.

Lelaki itu hanya dilihat membayar roti ban tersebut sebelum keluar daripada premis berkenaan.

Menurut hantaran asal, kejadian itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai berkenaan.

"Kes kecurian di kedai runcit.

"Nak post kes kecurian di sebuah kedai runcit S**i S****a Sungai Pusu ni pun rasa macam tidak berbaloi.

"Dah lah mencuri aiskrim, tak pasal-pasal muka masuk CCTV

"Jadi batalkan niat kalau nak mencuri itu, sekarang ini semua tempat ada CCTV," tulisnya.

Video tular itu turut mengundang pelbagai reaksi warganet.

Seorang pengguna Facebook, Mahadi Ahmad berkata, tindakan individu tersebut dilihat seolah-olah sudah biasa mencuri dan mungkin sudah menjadi tabiat lelaki itu.

"Kadang-kadang yang mencuri ini bukan sebab miskin.

"Sudah menjadi tabiat atau bahasa lainnya ketagih.

"Kalau satu hari tidak mencuri, tak senang duduk. Bila mencuri jadi satu kepuasan seolah-olah ada satu skil dia buat.

"Orang macam ini kalau ditangkap ada telefon bimbit mahal, ada duit dalam dompet tapi jadikan kegiatan mencuri sebagai hobi dan kepuasan," tulisnya.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram