SEPASANG suami isteri warga emas menerima kecaman hebat daripada warga media sosial setelah aksi mereka mencuri di sebuah pasar raya di Semenyih, Selangor berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis itu.
Menerusi video berdurasi kurang seminit yang dimuat naik Kongsi Segala Info itu menampakkan pasangan suami isteri itu dalam keadaan tergesa-gesa memasukkan beberapa barangan keperluan rumah yang dibeli ke dalam beg plastik.
Apa yang menarik perhatian ialah taktik mereka yang dilihat memasukkan sebahagian barang yang dipercayai belum diimbas kod harga ke dalam plastik.
Ketika juruwang itu leka mengimbas harga, si suami cepat-cepat mengambil barang berkenaan dan meletakkannya dalam beg manakala barang lain ditinggalkan di atas kaunter untuk diimbas seperti biasa.
"Pak cik dan mak cik, 'rumah kata pergi, kubur kata mari'. Sudah tua pun masih nak mencuri barang-barang makanan?
"Kesian adik juruwang kena tanggung kos barangan yang dicuri. Dari CCTV nampak dah rancang dan memang ada niat nak mencuri," tulisnya di laman Facebook.
Tambahnya lagi, kejadian itu dipercayai berlaku di pasar raya C** Semenyih.
"Banyak barang yang dicuri, barang buat makanan. Jadi darah daging.
"Baik mengaku mak bapak siapa ini? Harap adik juruwang buat laporan polis," katanya.
Turut tular, dua gambar tangkap layar rakaman CCTV yang menunjukkan muka pasangan warga emas itu.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram