MAYAT seorang lelaki ditemui disumbat dalam but keretanya di Jalan Tugu di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Kaki lelaki itu diikat dengan kain manakala terdapat kesan kecederaan pada muka dan telinganya.
Terdahulu, dua Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi mengesan kereta itu dalam keadaan mencurigakan di Bulatan Hishamuddin berhampiran Bank Negara kira-kira pukul 6.40 pagi.
Polis kemudian mengejar kereta berkenaan sebelum pemandunya memberhentikan kereta di tepi jalan berhampiran Bangunan Majlis Perubatan Malaysia, Jalan Tugu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, tiga lelaki dan seorang wanita turun dari kenderaan dan melarikan ke arah landasan kereta api berhampiran.
"Anggota polis memeriksa kereta itu dan menemui mayat di dalam but kereta.
"Siasatan awal mendapati kereta itu digunakan untuk e-hailing yang didaftarkan atas nama seorang lelaki, yang beralamat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Azmi berkata, mangsa adalah warga tempatan berusia 41 tahun.
Setakat ini, polis Kuala Lumpur sudah menahan tujuh warga Indonesia, namun motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram