Polis tahan 2 remaja bakar sofa, punca rakan rentung dalam tandas di Puncak Alam


  • 112
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Seorang remaja berusia 16 tahun ditemui rentung di dalam sebuah tandas awam di Puncak Alam, Sungai Buloh, pada Ahad. — Ihsan bomba

DUA remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun ditahan untuk membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran di sebuah tandas awam yang menyebabkan seorang rakan mereka maut di Bandar Puncak Alam, Sungai Buloh, Selangor pada Ahad.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

"Kita sudah tahan mereka, jalankan ujian air kencing dan didapati negatif.

"Punca kematian kita masih tunggu keputusan makmal patologi dan mereka akan tentukan (punca kematian) jadi kita tak boleh bagi komen lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Arjunaidi berkata, pihaknya dalam proses untuk mendapatkan kebenaran reman daripada mahkamah untuk kedua-dua suspek terbabit.

Pada Ahad, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dalam kenyataan memaklumkan, seorang remaja berusia 16 tahun ditemui rentung di dalam sebuah tandas awam berhampiran sebuah padang.

Ketika kejadian mangsa dikatakan tidur di atas sebuah sofa di hadapan pintu tandas tersebut sebelum kedua-dua suspek menyalakan api di bawah sofa terbabit untuk bergurau.

Setelah asap tebal dan api semakin marak, suspek melarikan diri ke luar manakala mangsa yang tersedar dari tidur masuk ke dalam tandas sebelum terperangkap.

Kedua-dua suspek cuba memadamkan kebakaran namun gagal berikutan api yang marak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram