Bukan salah parkir Bezza, rupanya gaduh berebut tapak pasar di OUG


  • Tular
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Polis berjaya menahan peniaga tersebut bagi membantu siasatan berhubung video tular itu yang dipercayai tercetus akibat perselisihan faham.

PADA Isnin, tular satu rakaman video seorang lelaki merakam tindakan peniaga melepaskan geram dengan meletakkan barangan niaga mereka di atas sebuah kenderaan.

Peniaga itu meletakkan barangan berkenaan di atas sebuah Perodua Bezza kerana dikatakan menghalang tapak perniagaan mereka.

Berdasarkan video tersebut, kelihatan peniaga tersebut meletakkan beberapa raga berisi barang-barang jualan di atas kereta tersebut.

Pada masa sama, peniaga berkenaan kelihatan membaling besi-besi tapak khemah hingga mengenai cermin hadapan kereta Bezza tersebut.

Difahamkan, pihak polis berjaya menahan peniaga tersebut bagi membantu siasatan berhubung video tular itu yang dipercayai tercetus akibat perselisihan faham.

Setelah disiasat, rupa-rupanya insiden itu bukan berpunca daripada kesalahan pemilik Perodua Bezza meletakkan kenderaan di situ, sebaliknya kerana bergaduh berebut tapak perniagaan melibatkan dua pihak.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua peniaga yang berebut tapak niaga di tapak pasar pagi di Taman OUG, Kuala Lumpur, pada Ahad.

"Ketika kejadian anggota dari Balai Polis Petaling ke lokasi dan mendapati perselisihan faham sudah diselesaikan.

"Susulan itu, laporan polis dan tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki dan wanita," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Amihizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan kerana membuat khianat dan ugutan jenayah.

"Polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi keterangan.

"Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai berdekatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram