PERTENGKARAN sepasang suami isteri berakhir dengan tragedi selepas lelaki tersebut maut ditikam dalam kejadian di sebuah premis perniagaan tiga tingkat di Phrapradaeng, Samut Prakan, Thailand pada awal pagi Ahad.
Polis mendapati mangsa dikenali sebagai Sitthikorn, 26, dalam keadaan terbaring di pintu masuk tingkat bawah dengan kesan tikaman di sebelah kiri dadanya.
Senjata iaitu dua bilah pisau sayur berukuran 23 sentimeter yang digunakan isteri mangsa turut dijumpai di tepi badannya.
Polis Phrapradaeng, Kapten Chai Phonsri berkata, terdapat kesan pergelutan di lokasi kejadian yang menunjukkan pasangan tersebut mungkin bergaduh hingga pertengkaran itu membawa kepada kematian.
Suspek, Nichawan, 25, yang mempunyai seorang anak sembilan tahun hasil perkahwinan terdahulu mendakwa, pertengkaran dengan suaminya disebabkan oleh masalah keluarga.
Salah satu pisau sayur yang digunakan oleh suspek. — Agensi
Dia mendakwa menggunakan kedua-dua bilah pisau itu bagi tujuan mempertahankan diri.
"Kami bertengkar dan saya minta dia keluar dari rumah supaya saya dapat bertenang tapi dia tetap mengekori saya.
"Sampai satu tahap dia mengambil selimut dan ketika itu saya menyerangnya dengan pisau," katanya menurut laporan Aseannow yang memetik sumber berita asal, Siam Rath.
Nichawan mendakwa, dia tidak berniat untuk membunuh suaminya tetapi pisau itu mengenai arteri dan lelaki terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.
Siam Rath dalam tajuk berita melaporkan kononnya suami wanita itu mengesyaki isterinya memiliki teman lelaki lain, namun tiada butiran yang menyokong laporan berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram