Asyik berjoget, ramai tertiarap bumbung 'bus stop' tiba-tiba runtuh


  • Benua
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Tangkap layar sekumpulan individu berjoget di atas perhentian bas sebelum ia runtuh. —Agensi

AKIBAT terlalu terbawa-bawa dengan suasana karnival, sekumpulan individu yang sedang asyik menari di atas bumbung perhentian bas terjatuh apabila bumbung tersebut runtuh dan mengakibatkan dua orang cedera pada Ahad.

Insiden tersebut berlaku pada Karnival Notting Hill, London, England yang diadakan semula buat pertama kali sejak 2019.

Tingkah laku sekumpulan individu yang bertindak memanjat bumbung perhentian bas dengan tujuan agar berada di tempat lebih tinggi daripada pengunjung lain tersebut mendapat perhatian ramai.

Rentetan itu, video yang menyaksikan mereka jatuh beberapa saat selepas berjoget sempat dirakam dan ditularkan di media sosial.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Twitter, Polis Metropolitan mengesahkan dua orang dirawat kerana cedera di tempat kejadian.

"Kami sedia maklum dengan insiden beramai-ramai naik ke atas bumbung yang akhirnya mengakibatkan bumbung tersebut runtuh dan dua orang cedera.

"Namun, kecederaan dua orang itu tidak teruk. Mereka tidak perlu rawatan lanjut," katanya.

Selepas insiden kejatuhan tersebut, suasana karnival berterusan seperti biasa dan tiada laporan lanjut dibuat berkenaan kerosakan harta awam berkenaan.

Karnival Notting Hill ialah karnival jalanan terbesar di Eropah dan dianggarkan dua juta orang dijangka hadir sepanjang acara tersebut berlangsung.

Karnival ini pertama kali bermula pada 1966, kira-kira 1,000 orang hadir, dan merupakan cara yang popular bagi masyarakat Afrika dan Caribbean untuk meraikan budaya dan tradisi mereka. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram