Wanita cedera dipukul perompak ketika keluar lif di Kepong


  • 112
  • Ahad, 28 Ogos 2022

Suspek (kiri) ditahan pada hari sama dia memukul mangsa (kanan).

POLIS menahan seorang lelaki kerana menyerang dan merompak seorang wanita secara kejam ketika keluar dari lif kondominium di Kepong, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.32 pagi pada Sabtu.

"Mangsa berusia 28 tahun mendakwa dia diserang sebaik keluar dari lif di sebuah kondominium di Jalan Metro Perdana Kepong.

"Dia mendakwa suspek sedang menunggu di hadapan pintu lif dan menutup mukanya serta mengheretnya ke arah kawasan tangga," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, suspek kemudian memukul muka mangsa dan menutup mulutnya sehingga pengsan.

"Suspek melarikan wang tunai sekitar RM150 daripada mangsa.

"Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan," katanya sambil menambah mangsa mengalami lebam di muka dan pendarahan dalaman di kedua-dua belah matanya.

Eng Lai berkata, susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun kira-kira pukul 4 petang hari sama.

"Suspek kini direman lima hari bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes diklasifikasikan sebagai menyebabkan kecederaan semasa rompakan," katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Bilik Kawalan Gerakan Polis Sentul di talian 03-4048 2222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram