Tak endah amaran, warga emas nyaris digilis kereta api


  • Benua
  • Ahad, 28 Ogos 2022

Seorang warga emas hampir dilanggar kereta api dalam satu kejadian dipercayai di Indonesia. — Agensi

SEORANG warga emas hampir dilanggar kereta api ketika melintas landasan dalam kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat lepas.

Kejadian itu sempat dirakam sebelum video tular di media sosial selepas dimuat naik akaun media sosial @memomedsos.

Dalam rakaman itu, kelihatan sebuah kereta api melintas di atas landasan sementara pengguna jalan raya lain sabar menunggu di tepi jalan.

Tiba-tiba seorang lelaki tua mengayuh basikal menyeberang jalan ketika sebuah lagi kereta api dari arah bertentangan melalui landasan sama.

Walaupun disuruh berundur oleh pengawal keselamatan, dia tidak mengendahkan amaran dan terus mengayuh basikal.

Dia kelihatan terkial-kial ketika mengayuh basikal itu kerana muatan berat yang dibawa di belakang basikal.

Tindakannya itu mencetuskan panik individu di sekeliling kerana dia hampir dilanggar oleh kereta api tersebut.

Bagaimanapun tindakan pantas pekerja keselamatan yang segera menarik basikal tersebut keluar dari landasan berjaya menyelamatkan lelaki terbabit.

Laporan Suara Riau itu tidak menyebut di mana lokasi kejadian dan waktu rakaman namun dipercayai kejadian itu berlaku di Indonesia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram