Pamer aksi rempit berbahaya, tujuh penunggang motosikal rempuh wanita hingga maut


  • Tular
  • Ahad, 28 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan dua orang mangsa yang cedera parah akibat dirempuh dari arah belakang.

GARA-gara mempamerkan aksi lumba haram berbahaya, tujuh remaja dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan apabila merempuh dari arah belakang penunggang motosikal lain yang turut berada di kawasan sama.

Menerusi rakaman video yang tular di laman Facebook itu, kejadian dipercayai berlaku di Jalan Taman Tunku Miri, Sarawak dan mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah patah bahagian paha manakala pembonceng motosikal pula disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.

Difahamkan, kesemua suspek berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun itu dipercayai menunggang dalam keadaan laju sebelum salah seorang daripada mereka dikatakan gagal untuk mengawal motosikal dengan baik lalu merempuh mangsa sehingga terbabas di tengah jalan raya.

Menurut laporan polis, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan ke atas tujuh remaja lelaki itu dibuat di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri, Sarawak.

“Semasa kejadian, sekumpulan remaja berumur lingkungan 15 hingga 19 tahun telah menunggang motosikal bersama-sama dan salah sebuah motosikal telah bergesel dengan motosikal lain yang ditunggang oleh dua orang wanita,” katanya.

Alexson berkata, akibat daripada itu penunggang dan pembonceng telah terjatuh di tengah jalan raya dan bahagian badan pembonceng dilanggar oleh dua buah lagi motosikal yang datang dari arah belakang.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan patah paha.

“Manakala pembonceng motosikal turut mengalami kecederaan yang parah dan telah disahkan meninggal dunia,' katanya.

Menerima lebih 500,000 jumlah tontonan di Facebook, perkongsian itu nyata menerima pelbagai kecaman serta kemarahan orang ramai yang menuntut agar undang-undang ketat perlu dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan bagi menangani isu lumba haram.

Mohd Affan berkata, "Bahaya budak-budak dapat motosikal ni, mereka tidak kenal erti penyesalan sehinggalah ianya terjadi pada diri sendiri, undang-undang perlu diubah agar mereka yang merempit ni dirotan di khalayak ramai."

Joe Ferrow menambah, "Hukuman menyebabkan kematian seharusnya dihukum mati juga tak kira tua ataupun muda, hanya hukuman berat yang menjadi garis panduan dan boleh mengekang kes macam ni," katanya.

Berhubung kes kemalangan meragut nyawa itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram