SEORANG pemilik rumah inap desa (homestay) yang terletak di Bandar Baru Setia Awan Perdana, Manjung, Perak meluahkan rasa kesal selepas kawasan luar rumahnya diceroboh masuk tiga orang kanak-kanak lelaki.
Dalam satu video tular yang dimuat naik menerusi akaun TikTok caramelmacchia menunjukkan tiga kanak-kanak lelaki itu memasuki rumah berkenaan untuk bermandi-manda di kolam rumah tersebut.
"Ceroboh masuk homestay, tunjuk aksi renang," tulisnya.
Difahamkan kanak-kanak tersebut memasuki halaman rumah berkenaan dengan memanjat pagar depan rumah tersebut.
Kejadian itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di dapur rumah tersebut.
Menurut pemilik rumah berkenaan, imasaraisyah, CCTV itu diletakkan menghala ke kolam renang berkenaan kerana rumah tersebut baru diubah suai.
"Rumah masih baharu lagi, belum ada penghuni.
"CCTV itu hanya diletakkan sementara sebab nak kenal pasti siapa yang masuk rumah saya.
"Homestay belum beroperasi sepenuhnya," katanya.
Video tersebut telah mendapat lebih 60,000 tontonan dan mengundang pelbagai reaksi warganet.
"Sekarang budak-budak pun dah pandai ceroboh rumah orang. Kita buat homestay, jarang balik memang kena letak CCTV," kata user678954.
"Bagus ada CCTV, ayah saya pun ada homestay. Jiran-jiran kat sana panjat masuk ambil paip cuci kereta. Papan tanda homestay pula dibuang," tulis _rqila.
Difahamkan, pemilik homestay tersebut belum membuat laporan polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram