Buli hingga mati harimau bintang, lelaki berdepan hukuman penjara


  • Benua
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Tangkap layar video yang memaparkan seorang lelaki menarik ekor harimau bintang yang tular di Twitter. — Twitter Parveen Kaswan

‘SEPERTI tidak mempunyai sifat perikemanusiaan’, itu adalah antara komen-komen yang dilontarkan warganet merujuk kepada satu video tular seorang lelaki menarik ekor dan kaki harimau bintang di tepi jalan.

Video itu menimbulkan kemarahan pengguna media sosial sehingga mereka menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kekejaman lelaki itu terhadap haiwan berkenaan.

Menerusi video berdurasi 39 saat itu, seorang lelaki bertindak menarik ekor dan kaki belakang seekor harimau bintang dan haiwan itu juga kelihatan dalam keadaan tidak berdaya untuk melarikan diri.

Video menunjukkan lelaki itu sedang menarik ekor dan kaki belakang haiwan berkenaan.

Lebih mengjengkelkan apabila orang ramai yang berkumpul di tempat itu dilihat menikmati kejadian berkenaan dengan ada di antara mereka merakam video itu dan mengambil gambar harimau bintang itu.

Haiwan itu dilihat cuba sedaya upaya untuk melepaskan diri daripada cengkaman lelaki itu tetapi tidak berjaya dan difahamkan harimau itu mati akibat perbuatan kejam lelaki berkenaan.

Video yang menyedihkan itu dikongsi oleh pegawai Perkhidmatan Hutan India (IFS), Parveen Kaswan di Twitter dan meminta warganet untuk menyalurkan maklumat tentang kejadian itu.

Kaswan turut mengecam perbuatan itu dalam ciapan lain dan memaklumkan semua orang bahawa lokasi kejadian tidak diketahui dan dia menerimanya melalui aplikasi bualan WhatsApp.

Dia juga menambah bahawa itu bukan cara untuk mengendalikan dan merawat hidupan liar dan seseorang harus berhati-hati kerana haiwan itu juga merupakan makhluk hidup.

Rata-rata warganet berang dan meluahkan rasa marah mereka di ruangan komen.

Seorang pengguna berkata. lelaki itu harus dihukum dan dihantar ke penjara kerana kekejamannya yang menyalahi undang-undang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram