'Enam tahun menanti zuriat,' Ada yang tawar diri mahu jaga Hawa


  • Tular
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Bayi tersebut diberi nama Hawa yang mana berat badan ketika ditemui seberat 3.12 kg.

TIMBUL perasaan sedih apabila masih ada manusia yang tidak menghargai pemberian amanah dari Sang Pencipta untuk menjaga seorang bayi yang tidak berdosa apatah lagi tergamak membuangnya dan membiarkannya dalam kesejukan.

Sebuah video tular tentang penemuan seorang bayi yang dibiarkan dalam keadaan kesejukan dan dihurungi lalat dipercayai berlaku di salah sebuah universiti awam pada Sabtu.

Melalui perkongsian video oleh @Nisa Rina IV di TikTok, kelihatan empat orang remaja perempuan menjumpai bayi tersebut di atas sofa di luar perkarangan sebuah premis dipercayai kedai makan.

Berdasarkan video berdurasi 49 saat itu, salah seorang daripada remaja berkenaan bertindak melaporkan penemuan itu kepada pihak bertanggungjawab dan menjaga bayi yang kelihatan pucat itu sambil menunggu bantuan.

"Kami terkejut bila nampak bayi ini masih hidup dan bergerak bila kami duduk berdekatan dengannya.

"Waktu itu badan bayi dah bertukar warna biru dan tali pusatnya masih ada.

"Kami hanya selimutkan bayi ini sebab tak berani buat apa-apa dan takut kacau bahan bukti," tulisnya dalam video.

Selang beberapa minit selepas dihubungi, pihak polis dan van ambulans pun tiba untuk menyelamatkan bayi tersebut dan mereka kelihatan melakukan segala prosedur untuk menyelamatkan bayi tersebut.

Tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati, rata-rata orang ramai memuji tindakan sekumpulan remaja perempuan tersebut dan ada juga kesal dengan perbuatan individu buang anak kecil yang tidak berdosa itu.

"Orang yang nak anak, Allah lambatkan rezekinya tapi orang yang senang beranak dia buang macam itu sahaja, sedihnya," kata @Mintamidi.

"Yang menjumpai bayi ini menyaksikan segala urusan, semoga anda dipermudahkan segala urusan dan dimudahkan rezeki," ujar @Junaidymariana.

"Saya ini enam tahun menanti zuriat, macam-macam saya usaha tapi tak ada rezeki lagi. Manusia yang senang dapat boleh buang macam itu sahaja, kalau tak nak anak itu boleh bagi dekat saya," luah @Syamira.

"Tahniah semua atas tindakan yang pantas, jika lambat mungkin bayi itu tak hidup sebab masih bercantum dengan tali pusat," tulis @Ekinahmad.

Difahamkan bayi berkenaan berjantina perempuan dan diberi nama Hawa yang mana berat badan ketika ditemui seberat 3.12 kilogram (kg) dan ketika ini sudah ada individu menawarkan diri untuk menjaga anak kecil itu.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram