Pelajar cemerlang SPM di Kepong terima ganjaran tunai keseluruhannya RM150,000


  • Primer
  • Rabu, 17 Ogos 2022

Veronica (kiri) dan Yan Yi menunjukkan cek ganjaran bernilai RM1,400 yang mereka terima setelah berjaya mendapat keputusan 12A.

SERAMAI 68 pelajar dari Kepong, Kuala Lumpur gembira setelah menerima ganjaran wang tunai di atas pencapaian mendapat keputusan 5A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Veronica Wang Wei dan Chan Yan Yi, kedua-duanya berusia 18 tahun, paling gembira kerana menerima RM1,400 setiap seorang kerana mendapat 12A.

Semua 68 pelajar itu adalah di antara 274 penerima ganjaran yang ditawarkan oleh Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Menurut Lip Eng, ganjaran tersebut adalah untuk menggalakkan pelajar tersebut melanjutkan pelajaran.

Pelajar yang mendapat keputusan 5A masing-masing diberi RM200 dan bagi setiap tambahan keputusan A yang diperolehi, mereka akan menerima RM100.

Manakala pelajar yang berjaya memperoleh keputusan A dalam semua subjek akan diberi tambahan ganjaran RM500 berdasarkan bilangan mata pelajaran yang diambil untuk peperiksaan.

Secara keseluruhan, lebih RM150,000 diperuntukkan untuk program tersebut.

Penerima bersama ibu bapa mereka turut diraikan dengan jamuan makan tengah hari mewah di restoran di mana majlis penyampaian hadiah itu diadakan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banting, Lau Weng San.

Pada masa sama Weng San turut menasihatkan lepasan SPM itu supaya bersedia untuk lebih berdikari dalam membuat keputusan sendiri.

“Apa pekerjaan yang mereka pilih nanti terpulang kepada mereka.

“Tidak kira apa pun pilihan pelajar, mereka harus menyumbang ke arah matlamat bersama dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik dan maju,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram