MEMPAMERKAN pretasi cemerlang bagi saingan Liga Perdana, Kelantan FC bakal merealisasikan sasaran untuk kembali dalam kancah Liga Super pada musim hadapan.
Dengan berbaki beberapa perlawanan lagi, skuad The Red Warriors (TRW) berjaya meneruskan aksi konsisten sepanjang musim ini dan terkini pasukan itu kekal sebagai pendahulu Liga Perdana dengan mengumpul sebanyak 35 mata.
Persediaan ke Liga Super itu bukan sahaja ditunjukkan oleh barisan kejurulatihan dan pemain, malah pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman turut berusaha untuk mendapatkan lebih banyak rakan penaja buat skuad Kijang Emas.
Terkini, pada Rabu Norizam yang turut dikenali sebagai Zamsaham mendedahkan bahawa pihaknya menerima penaja baharu daripada sebuah syarikat kosmetik sebanyak RM800,000.
Menerusi ciapan di laman Facebook miliknya, Norizam menjelaskan bahawa beliau akan mengumumkan perkara itu sekiranya ia dapat dimuktamadkan nanti.
Pada September 2020, Norizam mengambil alih 100 peratus pemilikan skuad TRW. — Facebook Kelantan FC
"Terkini ada sebuah syarikat kosmetik mengesahkan secara lisan untuk sponsor pakej Gold RM800,000. Saya akan umumkan bila sah penerimaan. #TRWKelantanFC," katanya.
Sebelum itu, beliau mengesahkan bahawa sebuah syarikat emas, MZ Gold menaja sebanyak RM300,000 kepada skuad Kijang Emas dan tajaan itu menjadikan TRW menerima suntikan tajaan baharu berjumlah RM 1.1 juta.
"Terima kasih penaja terbaru musim 2023, MZ Gold sah sponsor pakej RM300,000. Semalam juga kita terima satu penajaan alatan percetakkan nilai RM50,000. Sebelum ini kita juga dapat penajaan tunai dari Hino, syarikat milik Toyota. Terkini MZ Gold sebuah syarikat menjual emas yang terkenal di Kelantan menjadi penaja pakej Bronze. Semoga TRW Kelantan lebih bersedia di musim 2023," katanya.
Pada Selasa, Zamsaham mendedahkan pihaknya menerima permohonan daripada peminat setia pasukan itu yang berminat membeli lima peratus saham The Red Warriors (TRW) dengan nilai RM3 juta.
Kelantan FC bakal kembali ke Liga Super pada musim hadapan. — Facebook Kelantan FC
Menurutnya, wang penajaan itu akan digunakan bagi memperkemaskan dan mewujudkan lagi lebih banyak fasiliti agar pasukan TRW dapat berlatih dengan sebaiknya pada saingan Liga Super musim hadapan.
Sejak mengambil alih pasukan ini, Norizam melakukan banyak perubahan yang berkaitan dalam dan luar padang termasuk mengadakan perniagaan-perniagaan yang boleh menjana keuntungan buat kelab.
Prestasi kelab TRW bukan sahaja menarik lebih banyak penaja, malah penyokong Kijang Emas juga sering membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram