BARU-baru ini, tular di media sosial berkenaan isu menyayat hati yang melibatkan seorang bapa terpaksa mengusung jenazah anaknya selama 1 jam untuk tiba di lokasi pengebumian di Kg Samparita Tengah, Kota Marudu Sabah.
Terkesan dengan berita itu, rata-rata netizen berkongsi berita sedih tersebut di laman media dan telah menerima pelbagai komen dan pandangan orang ramai berkenaan isu berkaitan.
Majoriti telah menemu bual pengasas Persatuan Amal Dan Jariah Sabah, Masrul Guding yang difahamkan telah banyak berbakti kepada penduduk di sekitar Sabah terutamanya dalam hal berkaitan pengebumian jenazah.
Menurut Masrul, 32, persatuan amal miliknya itu telah diasaskan pada 2020 dan sehingga kini masih aktif dalam memberi bantuan pada waris jenazah yang memerlukan.
Tangkap layar menunjukkan salah sebuah kenderaan van jenzah yang digunakan oleh Persatuan Amal Dan Jariah Sabah.
Enggan mengulas lanjut mengenai isu yang tular baru-baru ini, beliau berkongsi bahawa sebenarnya terdapat banyak kes ataupun kejadian yang lebih tragis pernah berlaku sepanjang beliau bertugas.
Antaranya adalah isu jenazah berdarah dan berair yang tidak akan pernah terpadam dalam memori beliau.
Menurutnya, kejadian tersebut telah menjadi kebiasaan dan normal buat penduduk di sini terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman.
"Saya masih ingat ada satu kejadian di mana jenazah yang kami bawa berada dalam keadaan berdarah dan berair akibat perjalanan yang terlampau lama untuk dibawa ke lokasi perkuburan.
"Jalan di sini (Pekan Kota Marudu dan Ranau) terlampau teruk dan rata-ratanya memiliki jalan yang sempit di di curam bukit.
"Jadi, kami terpaksa menggunakan alternatif lain iaitu laluan hutan yang kurang berbahaya jika dibandingkan jalan raya di sini," katanya kepada Majoriti.
Ditanya soal jarak dan laluan berliku yang perlu ditempuh, beliau berkata kru dan pasukannya sudah lali dengan perkara itu kerana tidak mempunyai pilihan lain.
"Kebanyakan laluan di sekitar Pekan Kota Marudu dan Ranau sememangnya mempunyai jalan yang teruk dan kami terpaksa ambil jalan jauh untuk menghantar jenazah.
"Kira-kira 33km perlu ditempuh sebelum tiba di perkuburan dan kami menghabiskan masa selama 8 hingga 9 jam di hutan," katanya.
Lebih teruk, setibanya di lokasi yang dituju peti jenazah akan dilimpahi dengan darah yang mengalir dan mengakibatkan bantal ataupun kain kapan bertukar seperti lautan merah.
Menagih bantuan dan perhatian daripada pihak berkuasa, isu ini pernah dibangkitkan oleh beliau namun sehingga ke hari ini masih tiada sebarang penambahbaikan dilakukan.
Antara harapan dan cadangan beliau adalah jalan raya perlu diperbaiki segera dan bantuan van jenazah ataupun jentera berat perlu dihulurkan pada persatuan serta petugas dalam hal ini.
"Maka seharusnya bantuan lebih diberikan pada pihak pengurusan jenazah berswasta ataupun persatuan amal seperti kami," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram