Pusat tahfiz ditutup sementara lepas diserang


  • Massa
  • Sabtu, 13 Ogos 2022

Tangkap layar video serangan sekumpulan lelaki di pusat tahfiz terbabit.

SELEPAS tular kes serangan ke atas seorang ustaz dan para pelajar di pusat tahfiz di Jalan Cheneras, dekat Lipis, Pahang baru-baru ini, institusi tersebut kini ditutup sementara waktu.

Media tempatan melaporkan, 25 pelajar yang majoriti dari daerah Lipis dan Gua Musang, Kelantan bersama tiga tenaga pengajar dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Menurut sumber, pusat tahfiz yang beroperasi sejak 2016 itu ditutup sehingga siasatan polis selesai dan dijangka dibuka semula sekitar bulan hadapan.

Terdahulu, seorang ustaz menerima empat jahitan di mata kanan dan tangan serta badan lebam selepas diserang lima lelaki di pusat tahfiz berkenaan.

Kejadian pada pukul 5.10 petang Khamis lalu dipercayai berlaku berpunca daripada perasaan tidak berpuas hati soal pembayaran makanan di pusat tahfiz terbabit.

Suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat itu, yang mana tiga orang menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit.

Kejadian tersebut tular di media sosial apabila satu video berdurasi 2.51 minit memaparkan seorang lelaki yang memakai seluar pendek memarahi seorang mangsa sebelum bertindak memukulnya.

Berdasarkan rakaman, lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh.

Sebelum ini, dua daripada lima lelaki yang disyaki terlibat dalam serangan tersebut telah ditahan di sekitar Damak Jerantut pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, dua suspek berusia 30-an itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah, selain ujian saringan air kencing mereka juga didapati positif methamphetamine.

Beliau berkata, kedua-dua mereka telah direman selama empat hari bermula Jumaat, manakala polis telah mengenal pasti identiti tiga lagi suspek yang masih bebas dan usaha mengesan mereka masih giat dilakukan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh kawasan. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram