GAMBAR kesan tembakan di tingkap kediaman Datuk Seri Wong Soon Koh kembali ditularkan di media sosial.
Beberapa keping gambar itu tular sejak Ahad (14 Ogos) hingga membuatkan orang ramai percaya bahawa kejadian tersebut, yang sebenarnya berlaku pada Ogos 2014, adalah kes baharu.
Soon Koh, yang merupakan presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), ketika dihubungi berkata, mungkin ada pihak yang cuba menjadikan perkara itu sebagai bahan jenaka.
"Mungkin ada orang yang cuba buat lawak atas insiden tersebut dengan menyiarkan semula gambar itu di media sosial.
“Gambar kes ini berlaku beberapa tahun lalu apabila tingkap rumah saya ditembak,” katanya lagi.
Pada 14 Ogos 2014, sebuah kenderaan pacuan empat roda berhenti di kawasan rumah Soon Koh sebelum seseorang individu dalam kereta melepaskan tembakan yang mengenai tingkap bilik tidur, menyebabkan keretakan di dalamnya.
Tembakan berlaku antara pukul 8.15 dan 8.30 malam. Polis menemui sembilan butir pelet peluru dan tiga suspek ditahan dalam insiden itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram