KEPUTUSAN Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan beberapa lagi parti politik yang mahu menyertai Barisan Nasional (BN) akan dibincang dan diputuskan pada Isnin.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat mengenai parti lain yang turut berhasrat menyertai BN.
"Tidak perlu saya beritahu, tapi permintaan mereka termasuk PBM untuk menyertai BN kita akan putuskan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Isnin," katanya.
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dijangka berlangsung Isnin malam di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Sebelum ini, pemimpin PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, parti itu telah menghantar permohonan kepada BN bagi menyertai gabungan itu.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata, elemen calon yang disukai pengundi akan menjadi antara strategi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Untuk PRU15 ini, saya nak minta senarai calon awal-awal. Kita mesti turunkan calon yang pengundi nak, bukan yang Ketua Bahagian nak, bukan yang kita nak," katanya.
Ditanya sama ada langkah ini akan menyebabkan terdapat banyak muka baharu dinamakan sebagai calon, Mohamad berkata, ia bergantung kepada sokongan terhadap calon.
"Jika calon lama masih dapat sokongan, kita akan kekalkan, di samping kita pilih juga calon baharu yang sesuai," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram