Pemain terlalu penat, Nafuzi puji melambung TFC bawa pulang 3 mata


  • Podium
  • Ahad, 14 Ogos 2022

Kpah Sherman (tiga dari kiri) menjadi penjaring gol tunggal dalam perlawanan TFC menentang Sarawak United. — Bernama

KEMENANGAN Terengganu FC (TFC) 1-0 ke atas Sarawak United FC dalam saingan Liga Super akhirnya menamatkan kemarau kemenangan dalam empat perlawanan sebelum ini.

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, kebuntuan mencari kemenangan dalam empat perlawanan sebelum ini menyebabkan mereka keciciran banyak mata.

Katanya, pujian perlu diberikan kepada anak buahnya yang bekerja keras menghadirkan kemenangan walaupun bermain dalam keadaan cedera dan tidak sihat.

"Dengan jadual perlawanan sangat padat, pemain sememangnya terlalu penat tetapi mereka tetap memberikan yang terbaik untuk pasukan.

"Sebagai contoh, Faisal Halim terpaksa kita turunkan juga walaupun masih tidak sihat. Begitu juga Manuel Ott yang belum bersedia kerana sudah lima hari tidak berlatih," katanya.

Hasil kemenangan itu, TFC yang sebelum ini menduduki tempat kelima carta Liga Super berjaya naik satu tangga selepas memungut 20 mata daripada 14 perlawanan.

Sementara itu, pengendali Sarawak United FC, S. Balachandran berkata, beliau agak kecewa kerana gagal mengutip sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan di tempat lawan.

Bagaimanapun, beliau tetap memuji prestasi serta corak persembahan anak buahnya terutama di bahagian pertahanan.

"Kita masih ada baki enam perlawanan untuk Liga Super musim ini. Jadi kita perlu lupa kekalahan pada Sabtu dan bangkit untuk perlawanan menentang PJ City FC di laman sendiri selepas ini," katanya.

Menerusi perlawanan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, TFC berjaya meraih tiga mata menerusi jaringan gol tunggal Kpah Sherman. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram