Nyawa hampir melayang, pemandu 'berani mati' redah sungai di Jambatan Sempaling


  • Tular
  • Ahad, 14 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan keadaan trak pikap berada di tengah sungai tersebut setelah gagal menyeberangi Jambatan Sempaling.

AKSI berani seorang pemandu trak pikap menyeberangi sungai di kawasan pedalaman Sarawak memakan diri setelah kereta yang dipandunya itu mati di tengah sungai itu.

Berdasaran perkongsian video oleh Sibu Sarawak page, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Jambatan Sempaling, Baleh.

"Aksi berani pemandu yang mungkin terdesak menyeberangi Jambatan Sempaling, Baleh petang semalam.

"Diharap agar penduduk mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku," tulisnya.

"Sarawak 'keras bos'," kata wanita yang merakam insiden tersebut.

Salah seorang orang awam yang berada di tempat kejadian menyifatkan sikap pemandu itu terlalu berani dan tidak berfikiran panjang.

"Beraninya. Habis mati enjin. Hanyut, hanyut.

"Ingatkan dia seorang, ada orang lain juga dia bawa.

"Nasib baik dia (pemandu) dah buka tingkap kereta," katanya.

Susulan daripada kejadian itu, orang ramai mempersoalkan tindakan pemandu kenderaan tersebut meredah sungai terbabit dan memberikan peringatan supaya mengambil iktibar daripada kejadian itu.

jengkaut

Trak pikap tersebut diselamatkan menggunakan jengkaut untuk mengelakkan keadaan yang lebih buruk berlaku — Facebook

"Jadikan pengajaran, saya tahu terdesak nak pulang ke rumah tetapi takut pulang ke 'rumah' lain pula nanti," kata Beneddict7.

"Terlalu berani sampai menyusahkan diri sendiri. Sekarang siapa yang susah kalau tidak tuan punya badan," tulis Marcus Jayan.

Menurut seorang pengguna Facebook Madeline, kejadian itu berlaku selepas hujan lebat dan paras air naik.

"Hujan lebat dari pagi dan paras air naik dengan cepat. Pemandu sepatutnya alert dengan keadaan sungai.

"Kereta boleh beli tapi kalau nyawa melayang tiada ganti," tulisnya.

Warganet turut berkongsi satu gambar yang menunjukkan trak pikap tersebut diselamatkan menggunakan jengkaut untuk mengelakkan keadaan yang lebih buruk berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram