GARA-GARA memuat naik video berunsur seksual di laman TikTok, seorang guru akan berdepan siasatan, kata Datuk Dr Mah Hang Soon.
Namun, Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyemak perkara itu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.
"Apabila ada isu, kami sentiasa mengambil langkah untuk menelitinya dan kemudian akan mengambil tindakan yang perlu," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-20 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di Kampar, Perak pada Jumaat.
Terdahulu, seorang guru yang didakwa memuat naik video berunsur seksual di TikTok, mendapat kecaman daripada netizen.
Guru tersebut dipercayai telah memadam video berkenaan, selain membuat permohonan maaf di media sosial serta menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang niat jahat.
Pada masa sama, guru itu turut meminta orang ramai yang berkongsi video tersebut untuk segera memadamnya.
Mengulas lanjut, Mah menasihati para guru supaya berhati-hati dengan sebarang kata-kata dan tindakan kerana mereka merupakan contoh teladan.
"Pelajar bukan sahaja menimba ilmu daripada guru di sekolah, malah beberapa tindakan dan tingkah laku mereka turut menjadi ikutan.
"Guru perlu memahami tugas dan tanggungjawab mereka iaitu mendidik dan membimbing anak-anak unutk menjadi insan yang berakhlak mulia sebagai keutamaan mereka.
Tambahnya, guru juga disarankan untuk lebih berhati-hati menggunakan platform dalam talian termasuk media sosial.
"Apa yang mereka muat naik akan dilihat oleh ramai orang, meskipun ketika itu mereka berfikir kandungannya tidak akan menjadi tular.
"Jadilah contoh teladan yang baik kepada pelajar dan bijak menggunakan media sosial semasa menyampaikan ilmu," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram