Sebar gambar lucah, remaja maut dipukul bapa kekasih


  • 112
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Mangsa berusia 18 tahun itu dipercayai dibelasah dua individu di sebuah pusat komersil di Jalan Tun Jugah, Kuching, Sarawak.

SEORANG remaja lelaki disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Jumaat selepas mengalami kecederaan parah.

Mangsa berusia 18 tahun itu dipercayai dibelasah dua individu di sebuah pusat komersil di Jalan Tun Jugah, Kuching, Sarawak.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku susulan tindakan mangsa merakam dan menyebarkan video lucah anak perempuan suspek yang merupakan kekasihnya.

Mengesahkan kejadian itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa dalam kenyataannya berkata, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan.

"Sepasukan polis dari cawangan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menahan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 50 tahun.

"Mereka kini direman tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut, kes dipercayai berpunca daripada kisah percintaan,” katanya.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai bunuh apabila mangsa yang dimasukkan ke hospital meninggal dunia.

"Proses bedah siasatan akan dilakukan 30 Julai (Sabtu) dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Merbin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram