ISTILAH 'catfish' dalam dunia media sosial adalah merujuk kepada individu yang mencuri identiti orang lain untuk tujuan tertentu.
Ia bukanlah perkara baru dan ramai yang menjadi mangsa kegiatan kecurian identiti ini.
Bukan itu saja, ada yang menggunakan identiti yang dicuri tersebut untuk menyamar dan menjalinkan hubungan secara maya.
Terbaharu, seorang pengguna TikTok sol.lov3r yang dikenali sebagai Khalisa berkongsi ceritanya menjadi salah seorang mangsa catfishing.
Gambar dan identitinya telah dicuri oleh orang lain sejak 2020 lagi.
Menurut sol.lov3r, gadis yang dikenali sebagai Nurin Izzati telah melakukan aktiviti tersebut sejak tahun 2020.
"Saya pernah membuat laporan kepada pihak polis sebanyak dua kali tetapi dia terus menggunakan gambar saya untuk memperdaya orang lain.
"Saya juga pernah berjumpa dengan Nurin dan dia telah meminta maaf tetapi masih lagi melakukan perkara yang sama.
"Saya takut keselamatan terjejas kerana ada beberapa lelaki berkata mereka mengenali saya sejak beberapa bulan lalu walhal saya tidak pernah berhubung dengan mereka," katanya.
Pada masa sama, sol.lov3r turut memuat naik satu video yang menunjukkan wajah sebenar Nurin di mana ketara perbezaan antara kedua-dua gadis ini.
Dalam video itu, Nurin mengaku telah mencuri identiti Khalisa dan meminta maaf.
"Saya nak minta maaf kerana telah menggunakan gambar-gambar Khalisa (sol.lov3r) untuk berkenalan dengan orang.
"Saya janji tidak akan menggunakan apa-apa gambar atau video yang berkaitan dengan Khalisa lagi," katanya.
Dalam video tersebut turut menunjukkan Nurin memadam semua gambar sol.lov3r yang digunakannya untuk menipu orang ramai.
Menurut sol.lov3r, Nurin didakwa melakukan kegiatan menipunya menerusi aplikasi Telegram, Discord dan platform game Plato. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram