Kecundang Piala AFC, penyokong Kedah kirim pesanan khas buat 3 pasukan


  • Podium
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Aksi KDA FC ketika bertemu PSM Makassar dalam perlawanan peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC pada Selasa. — Facebook AFC Cup

PERJALANAN Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam kempen Piala AFC terhenti di peringkat separuh akhir Zon Asean selepas tewas 1-2 kepada PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia, pada Selasa.

Kekalahan tersebut sememangnya perit buat wakil negara itu yang meletakkan sasaran untuk mara ke pentas final buat kali pertama.

Begitupun, malang bagi skuad Sang Kenari kerana harapan berkenaan tidak kesampaian meskipun mereka telah mempamerkan aksi bertenaga di peringkat kumpulan pada Jun lalu dengan muncul juara Kumpulan G.

Seorang penyokong bola sepak tempatan, Iwan Thom berkata, kekalahan pasukan Kedah itu boleh dijadikan pengajaran kepada mana-mana pasukan yang memperoleh tiket beraksi di peringkat Asia.

1468805

Rizal Ghazali dan Baddrol Bakhtiar ketika beraksi bersama skuad KDA FC. — Facebook

"Satu pengajaran kepada pasukan yang dapat tiket main di Asia adalah jangan sesuka hati rombak pasukan secara drastik dan keluarkan pemain core (tonggak) yang telah membawa pasukan hingga menempah slot (bermain) di Asia.

"Jika tak mampu nak beri komitmen untuk musim hadapan jangan kejar slot itu," katanya di ruangan komen Facebook Harimau Malaya.

Tambah Iwan Thom, jika dilihat daripada prestasi semasa, Terengganu lebih layak dari Kedah disebabkan Terengganu FC (TFC) masih mampu kekalkan pemain tonggak mereka.

"Jadi jika Sabah dan Negeri Sembilan dapat slot Asia musim hadapan jangan lepaskan pemain core yang telah bawa kelab ke tahap tersebut, cuma buat penambahbaikan tambahan pemain sahaja," katanya.

Komen Iwan Thom itu mungkin merujuk kepada sembilan pemain kesebelasan utama pasukan Sang Kenari yang meninggalkan skuad itu untuk mencari angin baru bagi musim ini.

Kpah-Sherman-Tchetche-Kipree-Kedah-2020

Kpah (kiri) dan Kipré ketika beraksi bersama KDA FC. — Facebook

Antara pemain kesebelasan utama yang meninggalkan Kedah adalah kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali. Kedah juga bertindak melepaskan kesemua import mereka musim lepas iaitu Renan Alves, Anumanthan Kumar, Rabih Ataya, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre.

Seorang lagi penyokong, Noorman Johari turut merasakan kehilangan beberapa pemain tonggak itu menjadi punca utama kekalahan Kedah.

"Di bahagian depan dah hilang 2K (Kpah dan Kipre) yang bawa Kedah. Di bahagian tengah dah hilang kapten Marvel, Baddrol The Sniper.

"Bahagian pertahanan juga kehilangan kereta kebal mereka iaitu Rizal Ghazali. Nak buat macam mana memang hauk," ujarnya.

Untuk rekod, Baddrol dan Rizal kini bermain dengan skuad Sabah FC, manakala Kipre dan Kpah menjadi tonggak pasukan Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram