Lebih baik tertomoih main ragbi daripada tertomoih buat berita fitnah — MB Kedah


  • Podium
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Sanusi (tengah) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. — Facebook/Muhammad Sanusi Md Nor

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sering kali menjadi bualan peminat bola sepak tanah air.

Beliau juga yang Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) lantang bersuara berbicara mengenai isu-isu yang berkaitan dengan bola sepak tempatan.

Namun, ada segelintir fanatik bola sepak suka membuat 'usikan' nakal sehingga sanggup menyunting keratan akhbar tempatan yang mengatakan Menteri Besar Kedah itu mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal.

Facebook/MuhammadSanusiMdNor

Sanusi turut memberikan kata-kata pedas pada individu yang bertanggujawab menyunting keratan akhbar tersebut. — Facebook/Muhammad Sanusi Md Nor

Terbaharu, tular satu tangkap layar keratan akhbar yang menunjukkan Sanusi mengeluarkan kenyataan 'Asyik-asyik pasukan itu saja yang masuk final'.

Tangkap layar akhbar secara maya (online) itu mula dikongsikan oleh individu yang tidak bertanggungjawab beberapa jam selepas Johor Darul Takzim (JDT) mengesahkan tempat ke final Piala FA selepas berpesta gol membenam Penang FC 6-1, pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu.

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu dilihat tidak mudah melatah dan hanya memberikan pujian sinis.

WhatsApp Image 2022-08-09 at 08.34.26

Antara suntingan palsu yang dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab — Facebook

Menerusi laman Facebook rasmi Sanusi, beliau telah memuat naik satu status mengatakan keratan itu adalah satu fitnah terhadap dirinya.

"Pandai hangpa edit nooo. Akhir zaman ni mudah ja nak buat dosa.

"Edit tulisan, boh gambaq. Jadilah ia berita palsu yang membawa fitnah bersulam dosa.

"Teringat kisah seorang ulama ditanyakan tentang dosa fitnah," tulisnya.

Sanusi turut memberikan kata-kata pedas pada individu yang bertanggugjawab menyunting keratan akhbar tersebut.

"Ada seorang pemfitnah datang berjumpa seorang ulama. Lalu diberitahu ulama itu akan dosanya yang membuat fitnah.

"Pemfitnah itu memberitahu bahawa ia telah memohon maaf. Adakah permohonan maafnya itu mampu memadam dosanya?

"Lalu jawab ulama tersebut, bagaimana jika kamu berjalan sambil menyebarkan bulu-bulu binatang bertebaran di sepanjang jalan. Mampukah kamu mengutip kembali semua bulu-bulu itu kembali semuanya satu persatu?

"Begitulah juga dengan berita fitnah. Walaupun pemfitnah itu telah memohon maaf, namun berita fitnahnya telah bertebaran merata tempat sehingga ia tidak mampu memperbetulkannya kembali.

"Lebih baik tertumus (tertomoih) sebab main ragbi daripada tertumus (tertomoih) sebab buat berita fitnah," katanya.

Ini bukan kali pertama suntingan akhbar palsu itu berlaku apabila sebelum ini peminat bola sepak turut berkongsi tangkap layar yang menunjukkan Sanusi mengeluarkan beberapa kenyataan palsu berkenaan bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram