Jumpa bom lama di tapak projek ECRL di Maran


  • 112
  • Isnin, 08 Ogos 2022

Bom lama yang ditemui di tapak projek ECRL pada Ahad. — Sinar Harian

SEBUTIR bom lama dipercayai jenis Trench Mortar HE 2inc yang ditemui di tapak projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) di Sungai Pasir, dekat Pekan Awah, Maran, Pahang dimusnahkan pada petang Ahad.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bom tersebut ditemui kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad oleh seorang pekerja di tapak projek itu, sebelum memaklumkan kepada majikannya.

Menurutnya, penemuan bom lama itu kemudian dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ke lokasi penemuan bom sepanjang 26 sentimeter (cm) dengan ukur lilit 18 cm yang ditemui dalam keadaan berkarat itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Pahang di Kuantan pada Isnin.

Ramli berkata, bom terbabit berjaya dimusnahkan secara insitu menggunakan detonator elektrik, kord letupan dan bahan letupan plastik.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya segera melaporkan penemuan bom lama kepada pihak polis untuk dimusnahkan.

"Jangan memindahkan, membawa pulang, menyimpan atau melupuskan bom lama sebagai barang lusuh kerana berkemungkinan ia masih aktif dan boleh meletup," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram