Polis siasat kumpulan bersenjata baling bom petrol


  • Benua
  • Khamis, 23 Jun 2022

Lokasi kumpulan bersenjata melakukan serangan dengan membaling batu dan bom petrol. — Agensi

TINDAKAN kumpulan bersenjata yang menyerang penduduk di JI KSR Dedi Kusmayadi, Kecamatana Cibinong, dekat Kabupaten Bogor, Indonesia tular di media sosial.

Menerusi sebuah video, kumpulan tersebut melakukan serangan menggunakan bom petrol dan senjata tajam.

Video tersebut turut memaparkan, salah seorang penduduk yang melihat serangan itu turut memadamkan api yang berpunca daripada bom petrol.

Penduduk setempat juga dilihat cuba mematahkan serangan tersebut.

"Kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 4 pagi. Ada lontaran senjata dan saya tidak tahu sama ada ia bom petrol atau senjata lain.

"Besar juga apinya. Nasib baik kami sempat memadamkan kebakaran itu.

"Bukan itu sahaja, penyerang juga membaling batu dan terkena pagar rumah. Terkejut juga kami. Banyak batu yang dilempar bertaburan," kata salah seorang penduduk dikenali sebagai Nanang.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cibinong, Asisten Komisioner Yunli Pangestu berkata, terdapat seorang remaja berusia 18 tahun yang menjadi mangsa dalam serangan itu.

"Dia diserang oleh individu yang tidak dikenali oleh mangsa," katanya ketika membuat pengesahan.

Katanya, pihaknya kini masih menyiasat suspek kejadian tersebut serta mengambil keterangan saksi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram