KES buli jalan raya seolah-olah tiada berkesudahan apabila satu demi satu insiden pemandu samseng dilaporkan di media atau tersebar di media sosial.
Terbaharu, seorang pemandu lelaki yang menaiki kereta Toyota Vios bertindak memecahkan cermin kereta seorang wanita dalam kejadian dipercayai berlaku di Kelantan.
Menerusi video yang tular di media sosial, lelaki yang menggunakan dialek Pantai Timur itu berang selepas mendakwa wanita itu enggan berhenti selepas dikatakan berlaku pelanggaran.
Namun pemandu wanita terbabit enggan memberhentikan kenderaannya sebelum dihalang oleh lelaki tersebut di persimpangan jalan.
Lelaki itu kemudiaanya datang ke arah kereta wanita terbabit dan meminta agar cermin kereta dibuka, tetapi pemandu wanita itu enggan menuruti arahannya.
Ini menyebabkan suspek bertindak memecahkan cermin kereta mangsa, dipercayai menggunakan alat pemecah tingkap yang juga dilengkapi peralatan tajam seperti pisau.
Menerusi perbualan dalam loghat Kelantan, lelaki itu tidak berpuas hati tentang cara pemanduan mangsa di jalan raya.
Berikut antara perbualan lelaki dan wanita yang mendakwa sedang mengandung, selepas cermin kereta dipecahkan:
Lelaki: Kenapa kereta awak tak ke tepi?
Wanita: Kenapa?
Lelaki: Patut berhenti dan settle (selesaikan) tepi.
Wanita: Saya tengok kereta encik macam nak ke kanan.
Lelaki: Kak memang tak bertimbang rasa.
Wanita: Kenapa ketuk cermin saya?
Lelaki: Saya suruh buka tadi kan?
Wanita: Tak apa, saya bayar la (kerugian). Jom pergi balai (polis).
Lelaki: Tak nak, settle tepi je.
Setakat berita ini ditulis, video tersebut yang beredar laman Twitter sejak Jumaat mendapat 1,683 retweet (perkongsian semula) dan 1,789 likes (tanda suka).
Difahamkan, lelaki berkenaan sudah melarikan diri selepas polis memburunya bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram