Berita Khalid Ibrahim meninggal dunia palsu


  • Primer
  • Khamis, 28 Jul 2022

Khalid masih mendapatkan rawatan di ICU sebuah hospital di ibu negara. — Sinar Harian

BERITA yang tersebar di laman sosial berhubung kematian bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Khamis malam adalah palsu.

Pentadbir laman rasmi Facebook bekas Menteri Besar itu pada Khamis memaklumkan bahawa Abdul Khalid dilaporkan stabil dan masih mendapatkan rawatan di hospital.

"Justeru, berita yang tersebar deras awal malam ini (Khamis) bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meninggal dunia adalah tidak benar.

"Mohon dihentikan sebarang sebaran berita tidak benar bagi menjaga sensitiviti keluarga yang sememangnya sedang berhadapan dengan situasi sukar.

"Marilah sama-sama kita berdoa kepada ALLAH SWT agar dipermudahkan urusan buat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," kata kenyataan itu di laman sosial tersebut pada Khamis.

Status terkini yang dimuat naik admin Abdul Khalid di Facebook pada Khamis malam

Minggu lalu, Abdul Khalid ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di ibu negara.

Perkara itu dimaklumkan dalam laman Facebook rasminya pada Sabtu dan difahamkan, keadaan Abdul Khalid ketika itu sangat sensitif terhadap persekitaran luar.

Ia menyebabkan pihak hospital mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta mengehadkan jumlah pelawat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram