Tanpa 2 jurulatih Rusia, skuad gimrama fokus buru emas Komanwel


  • Podium
  • Khamis, 28 Jul 2022

Aksi Amy Kwan ketika temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia. — Bernama

BIARPUN berhadapan isu sekatan kemasukan dua jurulatih gimrama negara warga Rusia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) tetap fokus untuk membawa pulang sebutir pingat emas, pada temasya sukan tersebut.

Setiausaha Kehormat MGF Afrita Ariany Nasril berkata, isu tersebut, tidak menjejaskan misi skuad negara bagi merealisasikan sasaran menghadirkan satu pingat emas buat kontinjen negara pada temasya sukan berprestij itu.

"Kita perlu fokus dan meneruskan misi kami...kami harap kesemua atlet dan pegawai akan menyempurnakan misi itu (di sini),” katanya ketika dihubungi di Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan status kelulusan visa dua jurulatih gimrama negara yang merupakan warganegara Rusia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, kini menjadi tanda tanya.

Tanpa menyebut nama jurulatih terlibat, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kedua-dua mereka bakal terkena tempias susulan sekatan kemasukan dilaksanakan kerajaan United Kingdom (UK) terhadap warga Rusia.

Beliau berkata, pengurusan kontinjen negara sudah pun memenuhi semua proses keperluan pendaftaran, seperti ditetapkan penganjur.

Malah katanya mereka juga sudah mengemukakan surat rayuan kepada Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), bagi membantu mempercepatkan kelulusan visa berkenaan.

Sekiranya rayuan pengurusan kontinjen negara untuk mendapatkan visa bagi kedua-dua jurulatih ini tidak berjaya, Afrita Ariany dan jurulatih tempatan Lim Win Chean akan diterbangkan ke Birmingham, untuk menguruskan pasukan gimrama negara sepanjang temasya berlangsung.

Mengulas lanjut, Afrita Ariany berkata, mereka akan berlepas ke Birmingham esok, dan akan mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan bagi pengurusan skuad gimrama negara di temasya itu.

Beliau berkata, skuad gimrama terdiri daripada Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan, turut dijadual berlepas esok dari Minsk, Belarus, ke Birmingham setelah menjalani latihan intensif di negara berkenaan.

Skuad gimrama kebangsaan akan mula beraksi pada 4 Ogos di Arena Birmingham. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram