TEMPOH dua minit pertama permainan bakal menjadi penentu kepada prestasi skuad negara apabila berdepan juara dunia Afrika Selatan dalam aksi pembukaan acara ragbi tujuh sebelah Sukan Komanwel Birmingham 2022, pada Jumaat.
Jurulatih skuad kebangsaan, Mohd Saizul Hafifi Md Noor berkata, tempoh tersebut sangat penting bagi anak buahnya dalam menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan Afrika Selatan yang sememangnya berada dalam kelas tersendiri.
Beliau percaya sekiranya pasukan negara dapat melalui fasa permainan tersebut dengan baik, mereka mampu memberi saingan dan tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukan di ranking nombor satu dunia dalam saingan tujuh sebelah itu.
"Dalam tempoh empat tahun selepas Sukan Komanwel di Gold Coast (Australia), kita tidak pernah bertemu pasukan Afrika Selatan. Apabila kita bertemu pasukan ini (semula), dua minit pertama permainan paling penting.
"Kalau mereka tidak dapat tenangkan diri dalam tempoh itu, kita akan berdepan banyak masalah sehingga tamat perlawanan,” katanya ketika ditemui di perkampungan sukan atlet di University of Warwick, kira-kira setengah jam perjalanan dari pusat bandar di Birmingham, England.
Mengulas lanjut, beliau berkata, aksi pembukaan berdepan jagoan dunia itu juga penting bagi skuad Bunga Raya dalam mengharungi aksi seterusnya berdepan Scotland dan Tonga yang berada dalam kumpulan sama.
Mohd Saizul Hafifi berkata, Scotland yang juga lawan sama pada edisi 2018, bukan calang-calang pasukan dan berharap pasukannya dapat menampilkan aksi terbaik pada perlawanan pertama supaya dapat diteruskan untuk perlawanan seterusnya.
Mengenai aksi berdepan Tonga, beliau berkata, skuad Bunga Raya tidak pernah bertemu pasukan dari Kepulauan Pasifik itu, dan hanya mengetahui corak permainan mereka melalui analisis video.
"Kita tidak tahu kekuatan mereka, tetapi pasukan-pasukan dari Kepulauan Pasifik memang kita ketahui bagus. Jadi saya berharap pemain dapat mempamerkan permainan terbaik supaya boleh bersaing dengan mereka,” katanya.
Beliau juga berharap skuad Bunga Raya dapat menamatkan cabaran di Birmingham dalam kelompok 10 pasukan terbaik berbanding di kedudukan ke-13 pada edisi 2018.
Skuad negara diundi dalam Kumpulan B akan memulakan aksi berdepan Afrika Selatan dan Scotland pada 29 Julai, diikuti Tonga 30 Julai di Stadium Coventry.
Pada edisi Gold Coast 2018, skuad Bunga Raya tujuh sebelah tersingkir awal selepas tumpas kepada Papua New Guinea (5-31), Scotland (0-41) dan Afrika Selatan (0-43). — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram