FILIPINA mengerahkan angkatan tenteranya ke kawasan yang terjejas akibat gempa bumi bagi membantu usaha mencari dan menyelamat, lapor agensi Anadolu memetik agensi berita Filipina pada Khamis.
Gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter menggegarkan utara Filipina pada Rabu, mencetuskan kejadian tanah runtuh dan kerosakan infrastruktur.
"Sejak semalam (Rabu), Batalion Infantri ke-24 (24IB) telah membantu memindahkan pesakit ke sebuah hospital di Bangued, (sementara) unit Abra membantu membersihkan jalan, menyediakan bantuan pengangkutan, serta menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan di utara Luzon," kata jurucakap tentera, Kolonel Jorry Baclor.
Setakat ini sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan terbunuh dan 114 cedera manakala 3,456 keluarga (hampir 13,000 orang) hilang tempat tinggal.
Kerajaan turut menyediakan pusat pemindahan untuk 541 keluarga setakat ini.
Menurut Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina, lebih 800 gegaran susulan telah direkodkan di kawasan terjejas untuk tempoh 24 jam lepas.
Gempa susulan direkod berukuran antara 1.5 hingga 5 pada skala Richter.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk tempatan supaya mengelakkan berada dalam bangunan yang terjejas kerana gegaran susulan boleh mendatangkan bahaya. —Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram