KERAJAAN akan terus memberikan fokus utama untuk menurunkan kadar pengangguran dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus sebagai usaha memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, komitmen itu antara lain dapat dilihat menerusi inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) yang menyediakan 600,000 peluang pekerjaan melibatkan peruntukan RM4.8 bilion.
Katanya, inisiatif itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Februari ini.
"Melalui Jabatan Perangkaan, kita telah mencatatkan penurunan kadar pengangguran pada Disember (2021) kepada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus pada November.
"Kita tahu pewujudan pekerjaan merupakan asas kepada pemulihan ekonomi kerana itulah penciptaan peluang pekerjaan ini merupakan antara fokus utama dalam belanjawan. Dalam Belanjawan 2020, kerajaan menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan. Alhamdulillah, kita telah mencapai sasaran itu.
"Pada tahun ini, dengan mengambil semangat konsep JaminKerja, perdana menteri akan melancarkan program itu bagi menyediakan 600,000 pekerjaan, peningkatan 100,000 berbanding sasaran pada 2021," katanya ditemui pemberita ketika melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut meneruskan program Mystep pada tahun ini dengan menawarkan peluang pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja.
Beliau berkata, kerajaan menyasarkan sebanyak 80,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program itu pada tahun ini berbanding 50,000 pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus memberi bantuan kepada penggiat sektor pelancongan terutama di Sabah menerusi pelbagai inisiatif termasuk program subsidi upah bagi membolehkan mereka memacu semula pertumbuhan sektor berkenaan.
Menurutnya, banyak sektor ekonomi dalam negara menunjukkan pemulihan berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat sebanyak 3.6 peratus yang diumumkan baru-baru ini, namun, sektor pelancongan masih belum ke arah itu.
"Kita dapat mencapai unjuran antara tiga hingga empat peratus bagi 2021. Pada tahun ini, unjurannya (KDNK) antara 5.5 hingga 6.5 peratus.
"Jika kita lihat, banyak sektor telah kembali pulih, tetapi sektor pelancongan belum lagi," katanya sambil menambah kerajaan memperuntukkan pelbagai insentif untuk sektor pelancongan dalam Bajet 2022 berjumlah RM1.6 bilion.
Terdahulu, Tengku Zafrul meluangkan masa bertemu penggiat sektor pelancongan Sabah bagi mendengar luahan dan cabaran yang dihadapi dalam mengendalikan sektor tersebut sepanjang pandemik.
Katanya, penggiat pelancongan di negeri itu antara lain berharap bantuan kerajaan diberikan secara bersasar, dan pada masa yang sama, berharap kerajaan dapat membuka semula sempadan untuk membolehkan kehadiran lebih ramai pelancong asing ke Sabah. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram