ISU jemaah haji merokok nampaknya masih lagi menjadi bahan bualan dan kerisauan kepada pihak yang bertugas termasuklah di Indonesia.
Ketua Perlindungan Jemaah Daerah Madinah, Harun Al-Rasyid berkata, pihaknya turut mengesan beberapa jemaah haji Indonesia yang merokok walaupun berjarak hanya 10 meter dari Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi.
"Kita sudah maklumkan kepada jemaah berulang kali berkenaan isu ini termasuklah jumlah denda sebanyak 200 riyal (RM237).
"Namun, masih ada yang menghisap rokok terutamanya jemaah haji Indonesia gelombang pertama. Gelombang kedua nampak sedikit kurang dan diharap akan terus berubah," katanya.
Menurut Harun, hukuman untuk mereka yang ditangkap merokok dibuat lebih ketat dan selain denda, pesalah juga boleh dipenjara enam hari.
Malah katanya, larangan itu juga tidak terhad kepada merokok sahaja kerana ketika di Masjid Nabawi, para jemaah haji juga dilarang untuk membuang sampah sesuka hati.
"Memang ada jemaah haji Indonesia yang ditahan di luar Masjid Nawabi kerana merokok. Dia ditangkap petugas Arab Saudi dan mujur ada petugas kita yang berada di lapangan untuk berbincang
"Mujur jemaah tersebut hanya diberi amaran dan pihak berkuasa itu juga sempat berpesan jika ditangkap lagi, maka tangkapan akan dilakukan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram