KETIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, semua rakyat Malaysia kena duduk di rumah bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Pada masa itu, tidak kurang ramai juga yang hilang pekerjaan akibat penutupan operasi syarikat yang tidak dapat berjalan seperti biasa.
Masrita Umar Baki yang sudah berkhidmat selama 21 tahun di sebuah syarikat hartanah di Perak antara ribuan yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik.
Begitu juga suaminya, Mohd Asrul yang turut kehilangan kerja akibat penamatan operasi kilang tayar selepas 28 tahun berkhidmat di situ.
Video rakaman Asrul menyediakan Laksa Malam.
Demi menyara kehidupan harian, Masrita sekeluarga yang tinggal di Kampung Baru Larut Tin, Taiping, Perak tekad menjalankan perniagaan laksa dari rumah.
Menurut anak mereka, Ahmad Faiz, perniagaan laksa bukanlah sesuatu yang asing dalam keluarganya kerana ibunya itu pernah menjalankan bisnes juadah itu secara kecil-kecilan suatu ketika dahulu.
"Laksa ni kami dah buat lama, masa umur saya 13 tahun, kami berniaga di Lake Garden tapi tutup sebab ketika itu mak sakit. Ketika PKP 1.0 tu, kami mula balik sebab mak ayah kena duduk rumah gara-gara tak boleh bekerja," katanya kepada Majoriti.
Dibungkus dalam bekas plastik, Laksa Malam menjadi menu yang murah, senang dan cepat untuk dinikmati ketika lapar. — Facebook
Kata Faiz, Nama Laksa Malam berasal dari gelaran yang mereka terima daripada pelanggan semasa berniaga di sebuah medan selera di Taman Tasik Taiping.
"Kebetulan, gerai kami berkongsi dengan seorang mak cik yang menjual laksa pada sesi pagi. Jadi, pengunjung medan selera itu mengelar kami Laksa Malam bagi merujuk gerai kami yang menjalankan operasi perniagaan di sebelah malam.
"Sehingga kini, kami guna gelaran ini sebagai nama perniagaan kami, Laksa Malam Enterprise," katanya.
Berbekalkan pengalaman berniaga selama lebih 10 tahun, Masrita yang dibantu anaknya itu memulakan semula perniagaan laksa dikenali sebagai Laksa Malam dengan membuka gerai di tepi jalan.
"Berniaga di bawah pokok, tepi jalan ni memang mencabar sebab keadaan cuaca tidak menentu. Di Taiping, hujan tiga kali sehari jadi memang susah.
"Apabila berniaga dalam keadaan cuaca sedemikian kena tahan kalau ribut, dahan jatuh, tempias hujan, dikejar anjing dan macam-macam lagi," ceritanya.
Selepas kehilangan kerja, Masrita dibantu suami dan anaknya tekad menjalankan perniagaan laksa dari rumah. — Facebook
Faiz yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Universiti Malaysia Perlis memberitahu, kesukaran yang dihadapi kedua-dua orang tuanya menyebabkan dia terfikir untuk menggunakan teknologi bagi memudahkan urusan mereka.
"Kebetulan masa PKP 1.0, saya baru graduasi. Saya tengok masa tu, penggunaan teknologi e-dagang dalam perkhidmatan penghantaran makanan sudah matang di Taiping.
"Contohnya macam Grab Food dan Food Panda, memang ada sambutan untuk pasaran di Taiping. Jadi saya buat kesimpulan untuk berniaga dari rumah dan guna 100 peratus online dalam pesanan dan penghantaran makanan," jelasnya.
Faiz berkata, perniagaan laksa itu mampu mencecah jualan 2,000 bekas sebulan dengan 80 peratus pelanggan mendapatkan juadah itu di platform dalam talian Grab Food, Food Panda dan saluran jualan dalam talian lain.
"Saya buat pemasaran digital dan guna ilmu yang dipelajari semasa di universiti untuk dimanfaatkan oleh mak ayah yang membesarkan saya," ujarnya.
Kuah Laksa Malam menggunakan banyak asam keping dan bunga kantan untuk membangkitkan aroma harum dan rasa lazat. — Facebook
Bercerita tentang menu jualan itu, Faiz berkata, laksa ialah menu yang murah, senang dan cepat untuk dinikmati ketika lapar.
"Kami turut menggunakan ramuan segar seperti sayur-sayuran yang hanya akan disediakan apabila terima pesanan. Jadi, ia tidak dipotong awal supaya laksa segar apabila sampai kepada pelanggan.
"Andainya ada 100 pesanan, sayur akan dipotong 100 kali. Timun, salad dan cili akan dipotong kasar supaya teksturnya rangup serta sedap dikunyah.
"Kami juga tidak kedekut dalam penyediaan bahan kerana bagi banyak sayur terutama bunga kantan diberikan dalam satu-satu pesanan," jelasnya.
Selain itu, kata Faiz, kuah laksa juga tidak terlalu cair atau pekat serta menggunakan banyak asam keping dan bunga kantan untuk membangkitkan aroma harum dan rasa lazat.
"Selepas siap satu-satu pesanan, rider akan datang untuk ambil dan hantar makanan kepada pelanggan," katanya.
Tambah Faiz, perniagaan Laksa Malam turut menerima tempahan jamuan daripada pelanggan.
Harga Laksa Malam bermula pada harga RM5.90 sebekas. Butiran lanjut boleh didapati di laksamalam.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram