Radiance Agrotech labur RM1.1bilion laksana teknologi ternakan Belanda, sasar turun harga daging 50 peratus


  • Bizz
  • Sabtu, 11 Jun 2022

Kira-kira 30,000 hingga 50,000 ekor lembu dijangka dapat diternak oleh Radiance Agrotech dalam tempoh tiga ke lima tahun akan datang. — Ihsan Radiance Agrotech

SYARIKAT pegangan pelaburan patuh syariah, Radiance Assests Berhad bakal mengembangkan portfolio pelaburan agroteknologi dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.1 bilion melalui sistem ternakan lembu secara tertutup (closed-barn system) berteknologi tinggi di Malaysia.

Pelaburan di bawah anak syarikat Radiance, Radiance Agrotech Sdn Bhd itu akan mengguna pakai sistem berteknologi tinggi dari Belanda dengan kaedah ternakan lembu dibuat secara bersepadu dan automatik meliputi proses pembiakan, penyembelihan, pemprosesan, pembungkusan serta pemasaran.

Pengerusi Eksekutif Radiance Assests, Dr Ezman Zamani berkata, menerusi teknologi itu, pihaknya menyasarkan untuk menternak antara 30,000 hingga 50,000 lembu baka Nellore dalam tempoh tiga ke lima tahun akan datang.

"Baka dari Brazil ini dipilih untuk diternak di Malaysia kerana ia boleh mencecah berat 400 kilogram. Kita sedang dapatkan hak eksk lusif untuk biak baka ini.

"Selain itu, kita juga akan ada bahagian penyelidikan dan pembangunan yang akan cuba biakkan baka campuran daripada baka Nellore ini," katanya kepada Majoriti.

JOB090622_DrEzmanZamani036

Ezman Zamani berkata, Radiance Agrotech menyasarkan lebih 1,000 premis jualan daging lembu dalam masa tiga hingga lima tahun di seluruh Malaysia. — Ihsan Radiance Assets

Ezman berkata, pihaknya berhasrat untuk membina rantaian perniagaan outlet berasaskan penjualan daging yang dihasilkan sendiri dari dalam negara kerana percaya dengan cara itu, harga daging di pasaran dapat dikawal sekali gus memperkukuhkan sektor agromakanan negara.

"Apabila kita ada sistem ternakan sebegini, kita boleh kawal dari A hingga Z dari segi breeding hingga bekalan ke kedai.

"Kita akan ada ladang sendiri, fidlot centre, ada rumah penyembelihan dan bahagian pemotongan (deboning) sendiri. Selain itu, kita akan bekalkan produk ini ke outlet jualan sendiri.

"Jika harga semasa daging di pasar raya besar antara RM50 ke RM70 sekilogram, saya yakin sistem yang bakal digunakan Radiance Agrotech dapat membantu menurunkan harga daging antara RM20 to RM35 sekilogram.

"Dengan harga sedemikian, masyarakat khususnya golongan B40 di negara ini tidak terkecuali daripada berpeluang menikmati bekalan daging sebagai sumber makanan mereka," katanya.

Mengulas mengenai outlet, Ezman berkata, Radiance Agrotech menyasarkan lebih 1,000 premis jualan dalam masa tiga hingga lima tahun di seluruh Malaysia.

"Outlet ini akan jadi premis yang menyediakan bekalan daging pada setiap masa tanpa ada isu kehabisan bekalan stok.

"Kita juga akan ada jabatan kawalan kualiti yang akan memastikan tiada daging tidak segar dijual kepada pelanggan di outlet kami," katanya.

Tambahnya, outlet jualan itu akan dimulakan di Lembah Klang pada September depan dengan premis pertama bakal menemui pelanggan di M Residence, Rawang, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram