Kuzi kambing antara air tangan menarik Chef Wan dalam Qatar Airways


  • Bizz
  • Isnin, 30 Mei 2022

Chef Wan memperkenalkan empat set hidangan tradisi Melayu kepada penumpang Qatar Airways sempena ulang tahun ke-25 syarikat penerbangan itu. — Qatar Airways

IKON cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan akan memperkenalkan empat set hidangan bagi menu masakan cita rasa tempatan yang bakal dihidangkan kepada penumpang Qatar Airways sempena ulang tahun ke-25 syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, empat menu tersebut akan meliputi enam hidangan (course meal) iaitu juadah pembuka selera, sajian panas, sup, sajian utama, pencuci mulut dan minuman bercirikan warisan Melayu bagi penumpang kelas bisnes dan ekonomi penerbangan berkenaan.

Menurutnya, pengenalan sajian tradisi Melayu itu akan menyuntik kelainan kepada perkhidmatan syarikat penerbangan itu yang pernah enam kali dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia bagi 2011, 2012, 2015, 2017, 2019 and 2021.

"Ia juga memberi saya peluang untuk mencipta dan mempromosikan kepelbagaian masakan Malaysia di platform global. Saya berharap dapat membanggakan Malaysia melalui menu istimewa Qatar Airways dan mempamerkan budaya makanan Malaysia yang saya sangat sayangi kepada pengembara antarabangsa,” kata Chef Wan kepada Majoriti.

62233318_1067753563414001_2467565729252114432_n

Kuzi kambing antara air tangan popular Chef Wan buat penumpang Qatar Airways. — Facebook

Mengulas lanjut, Chef Wan berkata, antara hidangan yang akan diketengahkan termasuklah kuzi kambing, ikan bakar portugis, kerutuk, percik dan sebagainya.

Menariknya, kata pemilik rangkaian restoran De.Wan 1958 by Chef Wan itu, sajian tersebut akan ditukar setiap tiga bulan dalam tempoh setahun bagi memberi pelbagai pilihan kepada penumpang.

"Selain itu, saya juga perkenalkan sajian lain seperti soto ayam, laksa nyonya, mi rebus, mi udang dan macam-macam lagi supaya mereka boleh pilih. Saya memang galakkan penumpang antarabangsa untuk cuba menu ini sebab mereka pasti menyukainya," kata Chef Wan.

Katanya, pelancaran menu itu akan dibuat pada 25 Jun di De.Wan 1958 by Chef Wan @ The Linc Kuala Lumpur dan bakal menemui penumpang Qatar Airways pada 1 Julai depan.

Menu khas Chef Wan-Qatar Airways itu akan tersedia di laluan Kuala Lumpur-Doha bagi kedua-dua kelas ekonomi dan perniagaan untuk tempoh satu tahun.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai rangkaian restorannya, Chef Wan berkata, empat lagi tambahan cawangan restoran bakal menemui pelanggan di Setia Alam dan Cyberjaya, Selangor selain di Pulau Pinang dan Johor Bahru, Johor.

"Saya juga ada perancangan untuk meluaskan rangkaian ke Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak pada tahun depan. Kalau ada rezeki nak buka di Singapura dan Brunei juga pada 2023," katanya.

Buat masa ini, terdapat enam buah rangkaian restoran De.Wan 1958 by Chef Wan dan Cafe Chef Wan di The Linc KL, KL East Mall, Bangsar Shopping Centre, Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, Bangi dan The Shore, Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram