POLIS percaya bekas pembaca berita, Zalina Azman mungkin hilang lebih awal dengan siasatan kini tertumpu untuk mencari pekerja binaan yang terlibat dalam pengubahsuaian rumahnya di Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, telefon bimbit Zalina telah dimatikan pada 20 November tahun lepas.
Berdasarkan maklumat tersebut, pihaknya percaya Zalina, 58, mungkin telah menghilangkan diri lebih awal daripada 29 November, tarikh dia pertama kali dilaporkan hilang.
"Kami tidak akan tahu dia hilang jika anaknya tidak cuba menghubunginya," katanya ketika melawat rumah Zalina semalam.
Turut hadir Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
"Kami telah menyemak dan mendapati bahawa pada 20 November, telefonnya dimatikan (tiada rekod panggilan keluar atau masuk).
"Adakah berpunca kerana telefon bimbitnya kehabisan bateri, itu kami tidak pasti," katanya.
Menurut Mohd Iqbal, rumah Zalina didapati bersepah kerana dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan galeri.
Beliau berkata, polis juga sedang mencari pekerja binaan yang sedang mengubah suai rumahnya.
"Kami telah mengambil kenyataan daripada enam ahli keluarganya setakat ini.
"Kami juga sedang mencari pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya," katanya.
Dalam pada itu, polis percaya Zalina berada di negara ini selepas pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen menunjukkan dia tidak pergi ke luar negara.
Mohd Iqbal berkata, pihaknya telah menerima beberapa maklumat berhubung Zalina tetapi belum ada apa-apa bukti yang konkrit.
Pada Isnin, Zalina yang nama penuhnya Zalina Shaharah Azman telah dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.
Laporan polis telah dibuat oleh anaknya Mikhael Norman, 33, pada 29 November tahun lalu.
Dia dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November tahun lalu untuk memaklumkan bahawa bapanya sedang mendapatkan rawatan di hospital. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram