Bukan dengan saya tapi UKM patut minta maaf pada UPNM — Bapa Zulfarhan


  • Massa
  • Jumaat, 22 Jul 2022

Zulkarnain (kanan) mahu UKM memohon maaf kepada UPNM, tempat pengajian Zulfarhan.

"PIHAK Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sepatutnya memohon maaf kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas tindakan pegawai mereka, bukan kepada saya."

Demikian luahan Zulkarnain Idris, bapa kepada Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman berkenaan video tular 'Ultras' UKM yang melaungkan chant dengan liriknya berbunyi: "Iron untuk gosok baju."

Chant tersebut difahamkan diketuai oleh pegawai UKM dan dilaungkan kepada sekumpulan penyokong dari UPNM dalam satu perlawanan bola sepak baru-baru ini.

Menurut Zulkarnain, UPNM adalah tempat arwah anaknya menuntut ilmu dan secara tidak langsung, universiti itu pasti terasa dengan tindakan yang dilakukan oleh pegawai UKM itu.

"Sebab itu kalau boleh saya mahu satu permohonan maaf dibuat kepada UPNM sebab mereka juga pasti tersinggung kerana mereka juga terlibat secara tidak langsung dengan kes arwah anak saya," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, dia memang kecil hati dengan apa yang berlaku kerana tindakan itu dilakukan oleh seorang pegawai hal ehwal pelajar.

Jelasnya, pegawai itu adalah ketua dan yang lain pun akan ikut sahaja apa yang dia lakukan.

Ditanya mengenai permohonan maaf yang patut diluahan kepadanya, Zulkarnain menyerahkan perkara itu kepada pihak yang berkenaan.

"Sebagai seorang pegawai, dia sepatutnya tahu apa yang patut dilakukan susulan tindakannya itu," katanya.

Dalam pada itu, UKM ketika dihubungi memaklumkan tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung isu berkenaan walaupun sudah dua minggu insiden tersebut berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram