Kedah, KL City optimis tambah import mematangkan pemain lokal


  • Podium
  • Jumaat, 22 Jul 2022

Bagi MFL, penambahan kuota pemain import yang diperkenalkan bagi saingan Liga Malaysia 2023 dapat membantu kematangan pemain tempatan. — Facebook/KDA FC

PENAMBAHAN kuota pemain import yang diperkenalkan bagi saingan Liga Malaysia 2023 dapat membantu kematangan pemain tempatan sama ada di saingan Liga Super atau Liga Simpanan.

Memetik laporan Malaysian Football League (MFL), kemampuan dimiliki pemain import boleh menarik kehadiran ramai penonton ke stadium jika mereka dapat berikan banyak sumbangan untuk pasukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khamal Idris Ali, beliau tiada masalah menerima penambahan jumlah import 5+1 seperti yang dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi Liga Super selain kebenaran oleh MFL bagi pendaftaran 9 pemain import secara maksimum kepada semua pasukan pada musim depan.

Namun kuota penggunaan pemain pada hari perlawanan masih kekal iaitu 3+1 (Asia)+1 (Asean) dengan tambahan seorang pemain di bangku simpanan.

Tidak menafikan perkara itu pasti akan berikan peningkatan dari segi bajet pasukan, beliau berkata mereka perlu sentiasa rasional dalam aspek perbelanjaan.

“Kita tidak dapat menafikan pemain import ini bantu perkembangan minda dan prestasi pemain malah menjadi satu faktor tarikan penonton ke stadium.

“Memang benda ini bagi kesan terhadap bajet pasukan tetapi kita kena bijak kawal perbelanjaan.

“Penambahan import ini akan menaikkan lagi mutu liga kita kerana mereka boleh menjadi contoh kepada pemain-pemain muda.

“Mereka (pemain-pemain muda) boleh melihat bagaimana pemain luar ini bekerja serta sejauh mana tahap profesional yang dimiliki.

“Saya anggap ini satu perubahan yang berani selain cabaran baharu bagi semua pasukan dan harap kita boleh mendapat keputusan yang memuaskan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard, melihat perspektif itu membantu lagi kekuatan kelab-kelab negara yang akan bersaing di peringkat AFC.

Tambahnya langkah itu seiring dengan pengumuman AFC yang membenarkan kuota pemain import kepada 5+1 (pemain dari mana-mana warganegara dan seorang pemain dari negara Asia) berkuatkuasa mulai musim 2023-2024.

“Di saingan AFC, JDT telah berjaya layak ke pusingan 16 terbaik manakala Kedah dan KL City layak dari peringkat kumpulan.

“Secara kolektif, saya rasa tahun ini adalah tahun paling berjaya buat kelab-kelab Liga Malaysia di pentas Asia dan AFC melihat kita semakin ke depan secara teknikal.

“Jadi, penambahan slot import salah satu aspek yang boleh berikan kita ruang untuk terus bersaing sepertimana dilakukan pada musim ini kerana kita tidak mahu sekadar beraksi di peringkat kumpulan.

“Kita kena ikuti kelab lain di luar negara yang ada membariskan 7 ke 8 pemain import dalam liga mereka.

“Sepertimana Jepun, mereka ada slot import yang tinggi (tidak terhad) tetapi mereka berjaya melakukannya dengan baik di Liga Juara-juara AFC dan mungkin kita boleh ikuti cara mereka secara perlahan-lahan,” katanya.

Sebagai perbandingan, Liga Profesional Arab Saudi membenarkan pengambilan pemain import seramai 8 pemain dan 7 daripada mereka dibenarkan beraksi serentak dalam satu-satu perlawanan.

Manakala Liga Thailand membenarkan 7 pemain import (3 terbuka, 1 AFC, 3 asean) bagi Thai League 1 yang boleh bermain dalam sesuatu perlawanan dan 5 import (3 terbuka, 1 AFC, 1 asean) bagi Thai League 2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram