KEJAYAAN Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ketika muncul sebagai juara Piala Menteri Pengajian Tinggi buat julung kalinya merupakan sesuatu yang membanggakan buat penuntutnya.
Kejayaan pada Selasa lalu hadir selepas UPNM menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2-0 pada aksi final kedua di Stadium UKM, Bangi, Selangor untuk meraih kemenangan 3-0 secara agregat.
Selaku juara, UPNM menerima wang tunai sebanyak RM10,000 berserta trofi yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Namun, perlawanan berkenaan dicemari dengan insiden provokasi daripada penyokong atau 'Ultras' UKM.
Menerusi sebuah video tular, 'Ultras' UKM dilihat menyanyi lagu dengan liriknya berbunyi: "Iron untuk gosok baju."
Difahamkan, lirik tersebut berkait rapat dengan kes kontroversi seorang Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang maut akibat ditekap dengan seterika.
Lebih memeranjatkan, 'Ultras' UKM itu bukan sahaja melibatkan penuntut universiti itu, malah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) difahamkan turut kelihatan di dalam video tersebut.
Selain itu, Pegawai Tadbir HEP dipercayai menjadi ketua sorakan 'Ultras' UKM itu.
Antara pegawai HEP UKM yang dipercayai terlibat dengan sorakan Ultras tersebut.
Turut dipercayai terlibat dalam sorakan itu antara lain adalah Penolong Pendaftar Pusat HEP dan Pengarah Pusat HEP.
Perkara itu didedahkan oleh @LagaCawan menerusi hantaran di laman Twitter.
"Nak banter atau nak nganjing team lawan pun agak-agaklah. Orang dah mati pun dia boleh buat main.
"Kalau setakat student (pelajar) je yang menganjing mungkin boleh faham. Ini dengan pegawai UKM dan TNC HEP sekali join (turut serta)," katanya.
Setakat artikel ini ditulis, video tersebut mendapat 137,000 tontonan, 1,682 tanda suka (likes) dan 1,712 perkongsian semula (retweet). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram