SEORANG suami ditahan selepas isterinya ditemui mati di rumah mereka di daerah Phutthaisong, Buriram, Thailand dalam keadaan berbogel dan terdapat kesan gigitan di muka pada Ahad.
Nitiphot Klomthaisong, 52, ditahan ketika cuba melarikan diri ke rumah saudara di daerah Huai Thalaeng, wilayah Nakhon Ratcasima pada Isnin.
Sebelum itu, suspek dipercayai mencekik isterinya, Kamala Kongthaisong, 55, sampai mati selepas selesai membuat hubungan seks.
Mangsa yang tinggal di rumah itu bersama Nitiphot selama kira-kira 10 tahun itu dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira dua hari dan perkara itu disahkan oleh pihak polis selepas melihat keadaan mayatnya.
Seorang doktor di Hospital Phutthaisong yang memeriksa mayat itu menemui kesan hitam di sekeliling matanya dan beberapa kesan gigitan di sekitar mulut, pipi kiri, mata serta bahagian badannya.
Apabila polis tiba di tempat kejadian, suaminya tidak kelihatan dan motosikal miliknya juga hilang.
Ibu tiri wanita yang maut itu, Dokmai Kaewthaisong, 70, memberitahu polis bahawa Nitiphot sering mendera Kamala dan pernah mencurahkan air panas ke atasnya sehingga mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital.
Wanitu itu sudah beberapa kali memberitahu Kamala untuk memutuskan hubungannya dengan lelaki itu tetapi anak tirinya bertegas ingin tinggal bersama suspek.
Prapit Pruenthaisong yang merupakan jiran pasangan itu berkata, penduduk kampung menyedari kelakuan buruk lelaki yang mana sering minum alkohol dan mendera isterinya.
Ketua kampung, Wichit Kamolmuneerat memberitahu polis, pasangan itu sering bergaduh dan lelaki itu sering memukulnya.
Penyiasat bersetuju Nitiphot adalah suspek utama mereka dalam pembunuhan itu setelah mereka meneliti rakaman kamera keselamatan.
Pihak polis berjaya menangkap lelaki itu dan dia mengaku telah membunuh Kamala.
Pada Selasa, kira-kira 30 polis mengiringi Nithiphot ke tempat kejadian untuk lakonan semula jenayah itu dan suspek menunjukkan tempat di mana dia membunuh mangsa.
Lelaki itu berkata, dia dan isterinya minum alkohol pada hari berkenaan dan mereka bergaduh dalam mabuk.
Suspek menuduh mangsa menggunakan wangnya untuk dirinya sendiri.
Malah, mereka juga sempat melakukan hubungan seks sebelum lelaki itu mencekik mangsa dan menekup bantal ke wajah mangsa sehingga tidak bernafas.
Tiada saudara mara yang hadir melawat suspek atau menawarkan jaminan dan dia dijangka hadir di Mahkamah Buri Ram pada Rabu.
Ibu tiri mangsa berkata, beliau berharap suspek akan dikenakan hukuman berat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram