SESEORANG ahli politik sememangnya perlu mendapatkan kepercayaan rakyat dan pemimpin parti demi terus bertahan dalam arena dunia politik.
Namun, sebagai seorang yang mempunyai nama dan terkenal, mereka tidak lekang dihurung dengan kontroversi.
Adakalanya sesebuah kontroversi menjatuhkan imej ahli politik, namun ada juga yang masih terus bertahan dan terus terkenal meskipun mendapat kecaman teruk.
Syed Agil mendakwa, survival politik boleh diteruskan sekiranya seseorang ahli politik mempunyai pengaruh. — Sinar Harian
Berikut merupakan tiga ahli politik yang sering dikecam, namun penjelasan daripada penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff seolah-olah memberi jawapan kepada orang ramai sama ada ketiga-tiganya masih boleh meneruskan survival politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
1) Datuk Seri Hamzah Zainudin
Hamzah antara pemimpin yang mendapat kecaman hebat daripada kalangan rakyat dan ahli politik di negara ini.
Tindakan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang keluar parti Umno pada 14 Disember 2018, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mendapat kecaman dalam kalangan ahli parti serta rakyat di negara ini.
Hamid mendakwa Hamzah melakukan campur tangan terhadap pelantikan pegawai kanan polis. — Astro Awani
Ketika menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Hamzah yang juga memegang jawatan Menteri Dalam Negeri sekali lagi mendapat kecaman daripada bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang mendakwa bahawa beliau melakukan campur tangan terhadap pelantikan pegawai kanan polis.
Mac lalu, Hamzah sekali lagi mendapat tamparan hebat apabila mendakwa beberapa Ahli Parlimen kerajaan bertindak keluar Dewan Rakyat, ketika pengundian usul Subsekysen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana 'tidak suka' melihat wajahnya.
Mengulas mengenai perkara itu, Syed Agil berkata, isu kecaman terhadap seseorang ahli politik adalah perkara biasa.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri yang dikenali dunia, Tun Dr Mahathir Mohamed juga pernah teruk dikecam, namun beliau masih relevan sehingga sekarang, selain dijangka menang sekiranya dicalonkan dalam PRU15.
"Sekarang ni, survival politik adalah lebih penting. Adakah mereka (ahli politik) boleh survive (bertahan) atau tidak?
"Jadi, kalau mereka boleh survive tak ada masalah. Bagi saya, survival politik adalah pengaruh.
"Hamzah Zainudin still maintain dalam Bersatu. Saya nampak dia ada survival politik sebab ada pengaruh," katanya kepada Majoriti.
2) Tajuddin Abdul Rahman
Tajuddin digugurkan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia pada Isnin.
Tajuddin Abdul Rahman antara ahli politik yang mendapat kecaman hebat daripada rakyat dan pengamal politik yang lain.
Terkenal dengan sikap suka berseloroh dan membawa karakter 'politik samseng' terutamanya ketika sidang Parlimen, ada kalanya Tajudin mendatangkan muak kepada rakyat.
Paling ketara ketika kejadian kemalangan LRT laluan Kelana Jaya pada Mei tahun lalu, yang mengakibatkan 213 penumpang cedera, dengan lebih daripada 60 dihantar ke hospital
Tajuddin yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd dikritik hebat apabila termakan provokasi pada sidang media yang diadakannya selepas tinjauan di lokasi kemalangan.
Antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan LRT laluan Kelana Jaya pada tahun lalu. — Astro Awani
Beliau dilihat gagal mengeluarkan kenyataan segera beliau berhubung kejadian itu, sekali gus mendapat kritikan orang ramai, yang menganggap beliau sebagai tidak menghormati para penumpang.
Malah mimik mukanya ketika sidang media itu dilihat tidak serius dan seolah-oleh tidak peka serta sensitif dengan musibah yang melanda.
Lantaran itu, Ahli Parlimen Pasir Salak itu kemudian dipecat sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd tidak beberapa lama kemudian.
Bulan lalu, Tajuddin juga digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno selepas dikatakan tidak lagi sehaluan dengan pucuk pimpinan parti.
Bukan itu sahaja, pelantikan Tajuddin sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia mengundang pelbagai kritikan termasuk bekas diplomat.
Malah, beberapa pihak dalam Umno turut mendesak Tajuddin digugurkan daripada jawatan itu kerana tindakannya menyerang Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka yang disifatkan sebagai memalukan.
Petisyen juga dilancarkan di Change.org untuk menggesa pelantikan Tajuddin bagi jawatan itu dibatalkan, yang mengumpulkan lebih 35,000 tandatangan.
Gesaan itu nampaknya menjadi kenyataan apabila beliau pada Isnin digugurkan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia, menurut sumber kerajaan.
Mengulas mengenai perkara itu, Syed Agil berpendapat, sekiranya Umno masih mengekalkan pencalonnanya di Parlimen Pasir Salak, ini bermakna survival politik Tajuddin masih relevan.
Pada masa sama, Syed Agil tidak menolak kemungkinan Presiden Umno juga bakal menggugurkan pencalonan beliau di Parlimen sedia ada.
"Sebab tindak tanduk beliau memburuk-burukkan Presiden dan beberapa pemimpin tertinggi Umno boleh disifatkan menghina kepimpinan Umno dan tidak wajar dilakukan oleh pemimpin politik seperti beliau, " katanya.
3) Datuk Zuraida Kamaruddin
Zuraida bertindak keluar dari Bersatu pada Mei lalu.
Datuk Zuraida Kamaruddin merupakan salah seorang ahli politik wanita yang mendapat kecaman gara-gara tindakannya yang menukar parti.
Sebelum ini, bekas Naib Presiden PKR itu bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipecat keanggotaan parti tersebut pada 24 Februari 2020.
Keputusan pemecatan itu dibuat selepas Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) disebabkan kedua-duanya dianggap melakukan 'pengkhianatan terbuka'.
Susulan itu, Ahli Parlimen Ampang itu bersama sembilan yang lain - yang menggelar diri mereka sebagai G10 - membuat keputusan untuk menyertai Bersatu pada Ogos 2020.
Ini sekali gus melayakkan Zuraida dan Azmin dipilih menjadi menteri di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Tidak sampai setahun penyertaan Zuraida dalam Bersatu, beliau pada 25 Mei lalu mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Presiden PBM yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, lebih ramai Ahli Parlimen yang berhasrat menyertai PBM bakal menjadikan parti terbabit lebih 'meriah'.
Tindakan Zuraida yang tidak kekal lama dalam sesebuah parti menjadikan segelintir rakyat seolah-olah 'menyampah' dengannya, selain percaya beliau kemungkinan tidak akan kekal lama dalam survival politik.
Namun, Syed Agil berkata, sebagai Presiden, Zuraida sudah tentu akan dicalonkan dalam PRU15 menerusi tiket PBM.
Beliau berkata, survival politik lebih penting ketika ini kerana Zuraida masih mendapat pengaruh ramai menerusi parti tersebut.
"Soal menang atau tak (PRU15), itu tak jadi masalah," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram