50 ahli lompat ke Umno isyarat Bersatu selamat PRU nanti


  • Politik
  • Khamis, 07 Jul 2022

Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan dua lagi ahli jawatan kuasa Armada antara 50 ahli yang membuat keputusan berhijrah ke Umno. — Facebook

TINDAKAN seramai 50 ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Temerloh di Pahang tidak memberi kesan kepada parti itu.

Penganalisis politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, perpindahan parti itu tidak menggugat kedudukan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang berikutan parti berkenaan adalah sebahagian kecil daripada Umno.

"Dalam konteks ini, rakyat perlu sedar bahawa Bersatu hanya serpihan kecil Umno. Oleh itu, perpindahan sebegitu tidak akan memberi kesan besar kepada Bersatu.

"Melainkan jika Bersatu memilih untuk tidak bergabung dengan Umno, maka parti itu akan terancam kedudukannya pada PRU akan datang," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, faktor perpindahan itu boleh berlaku kerana suasana politik yang agak pasif dalam kalangan rakyat sehingga membuatkan ahli sebuah parti kecil memilih untul berhijrah.

Tambahnya, kejayaan Barisan Nasional khususnya Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dan PRN Melaka 2021 menunjukkan bahawa rakyat lebih memihak kepada parti 'gergasi'.

"Sejak masyarakat kurang berminat atau pasif dalam isu politik, parti gergasi seperti Umno akan menjadi pilihan. Namun jika mereka aktif, penghijrahan tidak berlaku.

"Kerana semakin pasif, Umno semakin dominan sejak PRN Johor dan Melaka. Ia adalah bentuk corak awal pengundian yang boleh dijangkakan untuk PRU 15 nanti. Masyarakat Melayu akan mengundi parti gergasi seperti Umno," katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Armada Pahang, Muhammad Faharuddin Hashim bersama 50 ahli termasuk Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan dua lagi ahli jawatan kuasa Armada membuat keputusan berhijrah ke Umno. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram