Selain krisis dalaman Umno, ini 3 lagi sebab PRU15 perlu diadakan tahun depan


  • Politik
  • Sabtu, 09 Jul 2022

Ahli Umno didakwa tidak sependapat mengenai waktu sesuai untuk mengadakan PRU15. — Gambar hiasan

KENYATAAN Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa parti itu menjangka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan tahun depan turut dipersetujui penganalisis politik tempatan, Prof Ahmad Atory Hussein.

Pada masa sama, Ahmad Atory tidak menolak kemungkinan krisis dalaman dalam Umno antara faktor utama PRU15 tidak diadakan pada tahun ini.

Penganalisis politik itu mendakwa, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sememangnya mahu PRU15 diadakan secepat mungkin dan seboleh-bolehnya pada Julai atau Ogos tahun ini.

Beliau mendakwa, perkara itu penting bagi Ahmad Zahid supaya pemilihan Umno dapat diadakan selepas PRU15.

"Dengan mengadakan PRU secara cepat, beliau dapat menentukan calon BN (Barisan Nasional) dan Umno, selain beliau masih lagi mempunyai kuasa untuk menentukannya.

"Malah, beliau dapat memberi watikah kepada calon-calon yang menyokong beliau dan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak)," dakwanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Anthony dilaporkan berkata, ruang bagi kemungkinan PRU15 diadakan tahun ini agak terhad, kerana ia tidak mungkin diadakan dalam masa terdekat semasa kerajaan sedang jenuh menangani isu inflasi, yang akan mengambil masa selama beberapa bulan.

"Ruang berikutnya mungkin selepas pembentangan Bajet 2023, namun tempoh hujung tahun ini juga mungkin tidak akan diadakan pilihan raya disebabkan musim hujan," kata Anthony.

Mengulas lanjut, Ahmad Atory bagaimanapun mendakwa, cadangan Ahmad Zahid untuk mempercepatkan pemilihan Umno tidak begitu digemari dan tidak disokong oleh segelintir ahli Umno yang lain.

"Umno sendiri berbelah bahagi, ada yang minta supaya PRU dipercepatkan dan ada yang sokong untuk diadakan tahun depan.

"Oleh kerana tidak ada ketentuan atau tiada konsensus dalam pemimpin Umno, maka nampaknya mereka menyerahkan kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya.

Semua parti belum bersedia

Barisan Nasional flags and Opposition flags has been putting up in Bongawan roundabout in Sabah. AZLINA ABDULLAH/The Star

Semua parti dipercayai masih belum bersedia menghadapi PRU15.

Pada masa sama, Ahmad Atory berkata, ketidaksediaan semua parti termasuk pembangkang untuk menghadapi PRU15, antara faktor ia tidak boleh dilaksanakan pada tahun ini.

Ini termasuk ada di antara bahagian-bahagian Umno yang khuatir akan mengalami kekalahan sekiranya belum bersedia tentang perkara itu.

"Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan parti lain juga dalam proses mempersiapkan jentera-jentera PRU, yang mana ia masih belum sempurna dan belum kukuh.

"Dalam erti kata lain, mereka tidak yakin mereka boleh menang kalau PRU diadakan sekarang.

"Makna gayanya, semua parti belum bersedia lagi dan mereka ada masa buat persediaan lebih kurang setahun lagi," katanya.

Kadar tukaran wang asing

file7k2ofq8bezpmutkr7k6

PRU perlu diadakan sekurang-kurangnya 60 hari selepas Dewan Rakyat dibubarkan.

Selain itu, Ahmad Atory berkata, kadar tukaran wang asing di Malaysia semakin merosot dan ini tidak memberi satu gambaran baik untuk ekonomi negara ini.

Dengan situasi tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan BN, yang semakin mendapat kepercayaan rakyat juga sukar untuk menang dengan selesa.

"Pakar ekonomi juga kata sama ada ekonomi berkembang baik atau tidak, kita terpaksa adakan PRU pada tahun hadapan juga.

"Sekurang-kurangnya dua bulan selepas bulan 7 (Julai). Maknanya selepas 60 hari Dewan Rakyat dibubarkan, mesti ada PRU.

"Maknanya bulan 9 (September) kena adakan juga (PRU) dan tak boleh lewat daripada itu," katanya.

Musim hujan

Situation around Taman Sri Muda, Shah Alam during flood.— FAIHAN GHANI/The Star

Musim hujan juga antara faktor penghalang PRU tidak boleh diadakan.

Selalunya, musim tengkujuh atau musim hujan akan berlaku pada akhir tahun, sekali gus menyebabkan pilihan raya tidak boleh diadakan pada masa terdekat.

Justeru, Ahmad Atory menyarankan jabatan kaji cuaca perlu membuat ketetapan tentang tarikh atau bulan tertentu tidak boleh diadakan PRU.

"Kalau tak boleh bulan 12 (Disember) tahun ni, apa-apa pun memang kena adakan PRU tahun depan cuma bulan berapa kita tak pasti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram