SELEPAS berdepan dengan audit forensik baru-baru ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhirnya mengumumkan senarai rasmi barisan kepimpinan baharu parti itu.
Senarai rasmi yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) itu dimuat naik melalui laman web rasmi Pemilihan Keadilan 2022.
Keputusan itu antara lain menyenaraikan 13 pemimpin ‘ternama’ yang gagal memenangi jawatan yang ditandingi mereka dalam pemilihan kali ini.
Antara senarai pemimpin berkenaan adalah G Manivanan; Farhash Wafa Salvador, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Chan Ming Kai; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Jeniri berkata, rakyat sudah dapat menilai parti yang dapat memerintah negara dengan lebih baik. —Astro Awani
Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, kekalahan pemimpin 'ternama' itu dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menunjukkan bahawa, terdapat perpecahan atau tiada pakatan dalam parti pembangkang.
Penganalisis politik itu juga tidak menolak kemungkinan bahawa, undi bakal berpecah seperti yang dibuktikan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor pada tahun lalu.
Selain itu, Jeniri berkata, perkara itu akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) disebabkan sentimen rakyat kepada PH adalah negatif.
Katanya, hal ini disebabkan PH tidak dapat menunaikan kebanyakan janji dalam manifesto ketika memerintah selama 22 bulan.
"Jadi, rakyat sudah dapat menilai (parti) siapa sebenarnya yang dapat memerintah negara dengan lebih baik kerana mereka dah tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing.
"Sentimen rakyat pun kelihatan memihak kepada BN dan tidak memihak kepada PH, " katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada peluang BN untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih tinggi selepas kekalahan pemimpin 'ternama' dalam PKR.
Umno ambil iktibar ketika jadi pembangkang
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) bercakap pada sidang media selepas kekalahan BN pada PRN14. — Benar News
Dalam perkembangan lain, Jeniri tidak menafikan bahawa mana-mana parti politik termasuk Umno mempunyai puak atau kem, meskipun ia dinafikan dalam kepimpinan parti.
Namun, beliau percaya, Umno akan sedar bahawa parti itu perlu menang dalam pilihan raya kerana perpecahan atau kekalahan akhirnya akan merugikan parti tersebut.
Apatah lagi, katanya, Umno ketika menjadi pembangkang sudah tentu mengambil iktibar tentang kepentingan solidariti dalam parti selain memastikan parti itu tidak berpecah, lebih-lebih lagi menjelang PRU15.
"Walaupun ada puak dalam Umno, mereka akan pastikan kemenangan dalam lebih banyak kerusi untuk memerintah di Putrajaya.
"Kalau berpecah ia tentu merugikan mereka. Jadi, saya rasa mereka akan meletakkan kepentingan parti di atas kepentingan puak," jelasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan wujudnya dua kem dalam Umno ketika ini, seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, kata Naib Presiden Umno itu, parti tersebut diterajui oleh satu kumpulan dan menegaskan tiada pembahagian kem dalam Umno.
Sebelum ini, timbul desas-desus yang mengaitkan wujudkan dua kem dalam UMNO yang mana satu kem itu didakwa menyokong Presiden parti tersebut, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Manakala, satu kem lagi didakwa menyokong kepemimpinan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno.
Dakwaan itu didedahkan berikutan pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram