Muhyiddin patut bincang isu rakyat, bukan lantikan TPM — Umno


  • Politik
  • Isnin, 04 Jul 2022

Shahril berkata, Perdana Menteri yang akan bertanggungjawab menentukan lantikan Kabinet.

TAN Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi melaporkan dapatan atau cadangan untuk menangani isu rakyat.

Sebaliknya, Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan bahawa, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu didakwa mengambil kesempatan untuk membincangkan isu lantikan jawatan baharu, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

"Sudahlah begitu, hebahkan pula kepada umum untuk cuba beri tekanan kepada Perdana Menteri,” dakwanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Pada Sabtu, Muhyiddin memaklumkan bahawa pelantikan jawatan TPM antara isu yang dibangkitkan semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri beberapa hari lalu.

Muhyiddin berkata, perbincangan itu turut melibatkan lantikan baharu Menteri dan Timbalan Menteri, sebagai mana yang termaktub dalam perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, Perdana Menteri yang akan bertanggungjawab menentukan lantikan Kabinet.

Justeru, katanya, tiada keperluan untuk mana-mana pihak membuat desakan terutamanya pemimpin dari parti lain.

"Dan isu lantikan Kabinet bukan keutamaan saat ini. Adakah kalau ada TPM dari Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) akan selesai isu rakyat?

"BN (Barisan Nasional) baik dari dalam atau luar Kerajaan akan terus memfokuskan usaha dan beri cadangan menangani isu rakyat.

"Pengerusi PN barangkali lebih sibuk isu jawatan Kabinet dan memuktamadkan isu logo yang tak habis-habis dibincangkan," katanya sinis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram